Berita Utama

KPM jangan tunduk desakan batal program ‘Minggu Solidariti Palestin’

Pihak ambil kesempatan perbesar isu disifatkan tidak wajar

BANGI, 14 Rabiulakhir 1445H, Ahad – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi mengecam tindakan segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan menggesa supaya penganjuran program Minggu Solidariti Palestin dibatalkan.

Ia susulan insiden penggunaan replika senjata di sebuah sekolah yang tular baru-baru ini.

Puad berkata, gesaan supaya Kementerian Pendidikan (KPM) membatalkan pelaksanaan program tersebut di semua institusi pendidikan bawah kementerian susulan insiden itu adalah tidak wajar.

“Kerana nila setitik ada pihak dan individu ambil kesempatan desak KPM batalkan ‘Minggu Solidariti Palestin’ yang bermula esok (hari ini). KPM tidak wajar tunduk kepada desakan itu.

“Ternyata insiden pelajar sekolah bawa senjata mainan dianjurkan di luar tempoh pelaksanaan (29 Oktober hingga 3 November) dan tidak patuh garis panduan ditetapkan,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebok beliau, semalam.

Menggesa KPM tidak tunduk kepada desakan itu, Puad meminta KPM agar tetap meneruskan program ‘Minggu Solidariti Palestin’ seperti yang dirancang.

“Di saat seluruh negara dan dunia mengecam kekejaman Israel maka tidak ada sebab semua peringkat rakyat Malaysia bersolidariti dengan rakyat Palestin yang juga ternafi hak pendidikan berkualiti,” katanya.

KPM memutuskan untuk kekal melaksanakan Minggu Solidariti Palestin bermula pada 29 Oktober hingga 3 November ini meskipun mendapat bantahan daripada beberapa pihak.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kempen Minggu Solidariti Palestin di sekolah adalah digalakkan dan dilihat penting untuk memahamkan nilai-nilai positif dalam kalangan anak murid.

Bagaimanapun, katanya, KPM tidak berkompromi dengan unsur-unsur ekstremis, keganasan, replika dan senjata-senjata yang sama sekali tidak dibenarkan.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR menggesa KPM mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam yang dijadual bermula hari ini.

Mereka menjelaskan keputusan mengadakan program sedemikian patut dikaji semula supaya sekolah dan institusi awam bebas daripada unsur kedendaman dan keganasan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button