Pakai mirip pejuang Hamas tak langgar akta
Nga Kor Ming digesa mohon maaf sifatkan pakaian pejuang Palestin sebagai ekstremisme

BANGI, 14 Rabiulakhir 1445H, Ahad – Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menyelar Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang menyamakan pakaian pejuang pembebasan Palestin dengan fahaman ekstremisme dan keganasaan.
Dalam laman Instagram, Nga memuatnaik gambar dua murid sekolah memegang senapang dan mesingan mainan, sambil mengenakan selendang kufia dan mengikatnya di kepala seperti pejuang Palestin, Briged Al-Qassam.
Namun, dalam ruangan kapsyennya, Nga berkata, sekolah bukan tempat untuk konflik, fahaman ekstremisme dan keganasan, sebaliknya sifat manusiawi dan perasaan cinta keamanan perlu diketengahkan.
“Mereka yang salah guna kuasa dan bertanggungjawab wajib dikenakan tindakan disiplin,” katanya.
Membidas kenyataan biadab Nga, Firdaus menegaskan, kerajaan Malaysia tidak pernah melabelkan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) sebagai militan mahupun ekstremis sebagaimana takrifan Barat.
Malah, Hamas diakui oleh kerajaan Malaysia sebagai pejuang yang berusaha membebaskan Palestin daripada penindasan Zionis.
Firdaus berkata, Nga sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan sepatutnya mengambil maklum pendirian kerajaan dalam isu keganasan Zionis, yang mana kerajaan berpihak kepada rakyat Palestin.
“Mereka berpakaian seperti pejuang bukan ekstremis! Apakah mereka dipanggil ‘fahaman ekstremisme dan keganasan’ kerana berpakaian mirip pejuang atau kerana mereka membawa senjata mainan?
“Kalau mirip pejuang, maka anda salah kerana bercanggah dengan takrifan kerajaan, Hamas bukan pengganas. Kalau kerana mereka bawa senjata mainan, awak pun salah kerana ramai pelajar juga membawa senjata mainan ketika sambutan Hari Kebangsaan di sekolah!” tegasnya.
Firdaus Wong berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuatnaik semula di akaun Facebooknya selepas hantaran itu didakwa dipadam oleh platform media sosial tersebut.
Sehubungan itu, Firdaus yang berang dengan tuduhan Nga mendesak pemimpin parti rasis dan cauvinis DAP itu meminta maaf dan menarik balik keceluparannya.
Beliau turut mempersoalkan rasional mendesak guru yang terbabit dengan insiden ini dikenakan tindakan disiplin.
“Apa kesalahan mereka sehingga perlu dikenakan disiplin? Takrifan kerajaan ialah pejuang dan pelajar-pelajar memakai mirip pejuang tidak melanggar mana-mana akta!
“Jikalau guru-guru itu dikenakan tindakan disiplin, adakah tindakan yang sama akan dikenakan kepada guru-guru seluruh Malaysia yang membenarkan pelajar membawa senjata mainan ketika sambutan Hari Kebangsaan?
“Jikalau perlu dikenakan tindakan disiplin adalah awak bukannya guru-guru tersebut!” katanya.