Ridhuan Tee persoal berapa banyak kuil nak dibina
Penganut tak ramai tinggal di kawasan tapi kuil berlambak-lambak

BANGI, 14 Rabiulakhir 1445H, Ahad – “Sudah ada kuil berdekatan, nak bina kuil lain buat apa lagi?”
Demikian persoalan dilontarkan pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah susulan tindakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang didakwa meluluskan projek pembinaan kuil Hindu di Taman Medan, Petaling Jaya yang majoritinya penduduk Islam.
Terdahulu, media melaporkan, sekumpulan penduduk Islam di kawasan tersebut menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kelulusan diberi kerajaan terhadap projek pembinaan kuil Hindu di kawasan perumahan mereka.
Menurut Ahli Jawatankuasa Bertindak Taman Medan, Mohd Faizal Syed Ariff, MBPJ telah pun bersetuju untuk tidak meluluskan projek itu pada tahun lalu.
Bagaimanapun, pada awal minggu ini pihaknya menerima surat menerusi mesej tular yang mendakwa projek itu sudah diluluskan untuk pembinaan.
Katanya, penduduk tidak mempunyai masalah dengan pembinaan kuil itu, namun apa yang dipertikaikan adalah faktor lokasi pembinaannya, selain aspek keselamatan orang ramai.
Penduduk menegaskan, kuil yang akan dibina di laluan masuk utama ke Taman Medan itu akan menyusahkan penduduk.
“Sudah ada satu kuil yang dibina di seberang jalan ni, sudah ada di sini sejak lebih 20 tahun. Mengapa perlu bina lagi satu kuil di jalan yang sama?” soalnya.
Dia juga memaklumkan bahawa penduduk bukan Islam di Taman Medan hanya kira-kira lima peratus daripada populasi di kawasan itu, manakala sebanyak 95 peratus penduduk Taman Medan adalah beragama Islam dan hanya memiliki dua masjid sahaja.
Mengulas perkara itu, Ridhuan Tee berkata, isu kuil dibina berdekatan walaupun penganutnya tidak berada di situ atau tidak ramai bukan suatu perkara yang aneh kerana ia kerap berlaku.
“Bila nak roboh, jadi isu perkauman. Apakah kita sudah lupa Peristiwa Kampung Medan 2001, dekat sangat dengan Taman Medan? Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Majlis Bandaraya ini sudah buta sejarah ke?
“Pergilah kira, lambakan kuil Hindu sedia ada? Berlambak-lambak kuil Hindu di tanah haram, bermula daripada kecil, lepas itu, jadi besar, tidak boleh buat apa-apa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ridhuan Tee menegaskan, bantahan dikemukakan bukan bermaksud menghalang hak bukan Islam untuk beribadat, namun isu ini berbangkit kerana sudah terlalu banyak rumah ibadat dibina dengan lokasi yang saling berdekatan.
“Sampai bila perkara ini nak selesai. Kita nak bina surau masjid, kerana tengok dahulu, ada atau tidak jemaah walaupun Islam agama Persekutuan. Ini tidak, pakai pacak ikut suka hati.
“Saranan saya kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), buatlah kajian. Pergilah kira berapa banyak rumah ibadat bukan Islam berbanding dengan masjid dan surau,” katanya.