33 trak bantuan lagi masuk Gaza
Penghantaran bantuan kemanusiaan terbesar sejak 21 Oktober lalu

GAZA, 15 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Lebih 30 trak bantuan memasuki Gaza, konvoi terbesar sejak diserang rejim penjajah Zionis.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) berkata, trak berkenaan dipenuhi bekalan termasuk air bersih, makanan dan bahan ubatan ke Gaza, melalui sempadan Rafah.
“Ini penghantaran bantuan kemanusiaan terbesar sejak 21 Oktober, dengan penghantaran terhad diteruskan,” kata OCHA dalam perkembangan terkini mengenai situasi terkini di Gaza.
Sehingga kini, sebanyak 117 trak telah memasuki Gaza melalui laluan tersebut sejak penghantaran terhad diteruskan memasuki wilayah itu yang dihuni 2.3 juta penduduk.
Seorang pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali berkata, rejim negara haram Israel hanya membenarkan 100 trak bantuan masuk ke Gaza setiap hari.
OCHA sangat mengalu-alukan penghantaran bantuan terbaharu namun tetap menekankan jumlah bantuan yang lebih besar diperlukan bagi kemerosotan situasi kemanusiaan yang buruk.
“Buat masa ini kemasukan bahan api sangat diutamakan termasuk peralatan perubatan dan kemudahan air serta sanitasi,” katanya.
Bagaimanapun, daripada 117 trak yang dibenarkan masuk, hanya 70 lori membawa bekalan perubatan, manakala 60 lagi membawa masuk makanan.
Manakala 13 trak lagi digunakan untuk membawa bekalan air bersih dan bahan sanitasi. – Agensi