Internet di Gaza kembali pulih
2.3 juta penduduk bergelut kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan

GAZA, 15 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Perkhidmatan telefon dan internet kembali pulih ke Gaza selepas komunikasi terputus di kawasan yang dikepung daripada dunia luar.
Paltel Group, yang menyediakan perkhidmatan komunikasi di Semenanjung Gaza berkata, perkhidmatan telekomunikasi dipulihkan secara beransur-ansur.
“Kami dengan sukacitanya mengumumkan bahawa perkhidmatan telekomunikasi (talian tetap, mudah alih dan internet) di Semenanjung Gaza, terganggu pada Jumaat, 27 Oktober 2023, akibat pencerobohan yang berterusan, sedang dipulihkan secara beransur-ansur.
“Pasukan teknikal kami sedang berusaha menangani kerosakan pada infrastruktur rangkaian dalaman dalam keadaan yang mencabar,” katanya dalam satu kenyataan di X.
Secara berasingan, pemantau internet Netblocks berkata, data rangkaian masa nyata menunjukkan sambungan internet sedang dipulihkan di Semenanjung Gaza.
Selama hampir 36 jam, komunikasi di Gaza hampir lumpuh sepenuhnya berikutan serangan udara Israel pada Jumaat yang dikatakan oleh penyedia telekomunikasi Palestin menyebabkan talian komunikasi terputus.
Israel telah mengebom hebat Gaza sejak 7 Oktober apabila Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) melakukan serangan rentas sempadan.
Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza berkata, serangan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 7,703 orang, terutamanya orang awam dan kebanyakannya kanak-kanak.
Kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza bergelut dengan kekurangan makanan, air dan ubat-ubatan akibat sekatan Israel ke atas kawasan itu.
Dilaporkan, hanya beberapa trak bantuan telah menyeberang ke Gaza sejak pembukaan lintasan Rafah hujung minggu lalu.- Agensi