Isu Palestin: Dakwa guru, sekolah terap budaya ekstremis tuduhan berat
'Pemimpin DAP ini layak digelar ekstremis kerana kerana bersungguh 'tutup' penderitaan anak-anak Palestin'

BANGI, 15 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Tindakan mendakwa guru dan pihak sekolah menerapkan budaya ekstremis dan keganasan apabila mengetengahkan keadaan semasa di Palestin adalah satu tuduhan berat.
Atas sebab itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri mengakui kesal terhadap kenyataan Naib Presiden DAP, Nga Kor Ming apabila secara terang-terangan mengecam isu pemakaian anak-anak sempena Minggu Solidariti Palestin peringkat Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau berkata, tuduhan Kor Ming adalah tidak wajar memandangkan inisiatif pihak sekolah adalah satu langkah pendidikan untuk anak-anak sedar dan memahami isu besar yang sedang melanda ketika ini.
“Tidak cukup dengan pertikaian, pemimpin DAP bertaraf menteri ini telah mengecam dan mengugut pihak berkaitan yang dikatakan menyalahguna kuasa untuk diambil tindakan dek kerana anak murid dan guru ini memakai kostum ‘perang’ dengan laungan kalimah yang membangkit semangat melawan musuh kejam seperti Zionis.
“Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya wujud kerana seharusnya pemimpin DAP bertaraf Menteri ini maklum mengenai pendirian kerajaan Malaysia yang bersama rakyat Palestin dan menentang keganasan Zionis Israel.
“Pemuda PAS merasakan pemimpin DAP seperti inilah yang layak digelar ekstremis kerana dilihat bersungguh-sungguh ‘menutup’ penderitaan anak-anak Palestin yang diratah dan dibunuh atas nama keamanan,” katanya.
Mohd Hafez berkata, isu Palestin adalah nilai kemanusiaan yang mana penting untuk diketahui dan difahami oleh semua peringkat umur bagi menentang naratif salah pihak musuh.
Justeru, Pemuda PAS menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk terus cakna dengan peperangan yang nyata merupakan sebuah bentuk kekejaman terhadap umat Islam dan rakyat Palestin yang saban hari dibunuh dengan kejam tanpa belas.
“Pemuda PAS tidak akan berhenti memberi kesedaran kepada umum bahawa isu Palestin bukan soal keamanan semata-mata, tetapi soal kekejaman dan kezaliman Zionis terhadap umat Islam dan rakyat Palestin yang berpanjangan tanpa noktah,” katanya.
Semalam, Kor Ming menerusi ciapan dalam aplikasi X menegaskan sekolah bukan tempat untuk konflik, fahaman ekstremisme dan keganasan.
Kenyataan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu dibuat susulan sebuah video tular berhubung isu pemakaian murid-murid sempena Minggu Solidariti Palestin peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menunjukkan ada penggunaan senjata api mainan.
“Sekolah bukan tempat untuk konflik, fahaman ekstremisme dan keganasan. Sebaliknya sifat manusiawi dan perasaan cinta keamanan perlu diketengahkan. Mereka yang salahguna kuasa dan bertanggungjawab wajib dikenakan tindakan displin,” dakwa Kor Ming.
Berita berkaitan;
https://ismaweb.net/2023/10/29/pakai-mirip-pejuang-hamas-tak-langgar-akta/