Lautan manusia banjiri luar kedutaan Amerika, meski tanpa nyanyian artis terkenal seperti di Axiata
Isu Palestin ini isu agama, bumi para anbiya, bukan kemanusiaan semata-mata

BEZA sungguh perhimpunan solidariti Palestin sabtu lepas, anjuran PAS, PN dan NGO. Meskipun diadakan atas jalan raya, berhujan, berpanas, tanpa nyanyian artis terkenal kononnya, berhampiran kedutaan Amerika Syarikat, sekitar Jalan Tun Razak, lautan manusia membanjiri. Inilah harga sebuah keikhlasan dalam sebuah perjuangan.
Berbanding dengan perhimpunan sebelum ini meskipun dijemput artis terkenal bagi menarik perhatian, namun hambar. Percayalah! Bawalah artis hebat macam mana pun, rakyat tidak mudah terpedaya lagi. Artis bukan ikutan kami, kecuali artis yang benar-benar ikhlas dengan Islam dan perjuangan, bukan pura-pura, demi menjaga periuk nasi.
Paling menyedihkan dua minggu lalu, perhimpunan di Dataran Merdeka, yang datang tak seberapa, penuh dengan hipokrasi, sehingga takbir tidak dibenar dilaungkan, kecaman ke atas Zionis minta dihentikan. Pelik sungguh penganjur seperti ini. Akhirnya, bila dikecam, terpaksa meminta maaf, bagi mengelakkan mudarat ‘jamaah dalam jamaah’ yang diwakilinya.
Namun, dua hari lepas, sangat berbeza, inilah perhimpunan terbesar pernah saya ikuti untuk mu Palestin. Harga sebuah perjuangan yang ikhlas, bukan dibuat-buat seperti yang lain. Tiada siapa dihalang untuk bertakbir. Tanpa disuruh, laungan takbir terus bergema, memecah suasana yang begitu nyaman, dengan tiupan angin, mengibarkan bendera Palestin megah berdiri, seolah-olah itulah suatu kemenangan buatmu Palestin.
Tidak langsung cetus kontroversi. Perhimpunan berlangsung begitu aman sekali. Kita disatukan dengan kalimah yang suci. Hadir dengan ikhlas terasa di hati.
Sejak awal lagi saya telah katakan, isu Palestin ini, isu agama, bumi para anbiya, bukan kemanusiaan semata. Ya, tidak dinafikan Palestin juga isu kemanusiaan, cuma jangan sampai tenggelam isu agama. Tidak perlu takut untuk memperkatakan yang benar itu benar, termasuk mengecam tindakan Zionis. Takbirlah sekuat-kuatnya membesarkan Allah SWT kerana pertolongan Allah adalah segala-galnya.
Umat Islam Palestin masih bertahan sehingga ke hari ini, tanpa apa-apa, sempadan pun tidak diiktiraf PBB, sehingga kini masih tidak ada status negara bangsa. Apakah faktor yang menjadikan mereka terus kuat, kalau bukan faktor agama, mereka rindukan syahid. Kalau bukan mempertahankan agama, mana mungkin mereka syahid.
Percayalah, Palestin tidak akan kalah selagi mereka yang dibunuh, dibom, darahnya masih mengalir walaupun selepas ditemui beberapa hari. Syahid mereka itulah yang menjadi idaman dan semangat umat Islam Palestin untuk terus hidup mempertahankan tanah air tercinta. Bumi umat Islam, bumi para anbiya.
Saya ingatkan penganjur-penganjur lain, ikhlaslah dalam perjuangan. Jangan tenggelamkan isu agama. Jangan buat sesuatu hanya kerana kerana orang lain buat, menunjuk-nunjuk. Nanti apa orang kata kalau tak buat. Jangan kamu lunturkan semangat mereka yang hadir dengan tidak boleh bertakbir, mengecam Zionis.
Malu kita dengan pemimpin bukan Islam, yang berucap mempertahankan Palestin, terutama di luar negara.
Ingatlah sesiapa yang ikhlas dalam apa jua perkara pasti akan membuahkan hasil yang indah. Keikhlasan akan membuat kita merasa ringan. Semua ibadah diniatkan untuk Allah sehingga makin merasakan cinta kepada Allah.
Orang ikhlas tidak akan kecewa dalam kerja kesehariannya, baik dalam beribadah maupun bekerja kerana dia tidak mengharapkan pujian dari orang lain melainkan mencari keredaan Allah SWT.
Malangnya hari ini kita selalu mahu menunjukkan kononnya kita menyokong Palestin walhal sebenarnya sekadar wayang. Kita mengharapkan kita dihindarkan daripada sifat riak. Melakukan sesuatu kebaikan bukan kerana Allah, tetapi untuk mendapat pujian atau penghargaan dan penghormatan.
Kita juga mengharapkan kita dijauhkan dari sifat ujub iaitu satu sifat mengagumi diri sendiri, kagum ketika dirinya merasa memiliki kelebihan kuasa, yang mungkin tidak dimiliki orang lain. Maka, dicanangkan seluruh dunia akan kehebatannya, termasuk kononnya mendapat ugutan kuasa besar mengatakan sokongan.
Ingatan saya, jika benar-benar kamu ikhlas, tulis surat rasmi, buat kenyataan rasmi, siaran secara langsung, khas untuk Palestin. Kutuk kuasa-kuasa besar yang tidak pernah berlaku adil kepada dunia. Ada kita buat? Sekadar lantang di Parlimen tidak mencukupi. Negara jiran kita, Indonesia, jauh lebih berani.
Mendengar Menteri Luarnya bercakap, meskipun tidak berhijab, keberanian jauh lebih baik daripada Menteri yang berhijab. Menteri yang berhijab mula gentar apabila ada sekolah membawa senapang (senjata) olok-olok, walhal senjata olok-olok itu melambak di kedai mainan budak-budak, setiap hari orang main, kenapa tidak diharamkan senjata olok-olok itu? Bila ada sekolah bawa, ultra kiasu protes, riuh satu Malaysia, Menteri berhijab jadi kecut perut. Maka, bersuaralah dia, bahawa itu bukan inspirasi sebenarnya untuk Palestin.
Pada saya, itu suatu kreativiti pelajar, tidak ada kaitannya dengan keganasan. Ingatlah, setiap orang memiliki kelebihannya sendiri. Jika kelebihan itu digunakan untuk merendahkan diri kepada Allah sehingga tidak menyebabkan kebanggaan tidak menjadi masalah. Cuma, elakkan jadi ujub, itu yang salah.
Hindari juga sifat sum’ah ertinya memberitahukan amal soleh yang sebelumnya tidak diketahui orang lain untuk mendapatkan pujian, penghargaan, kedudukan, dan keuntungan duniawi bahawa orang melihat dia membuat SWT kerja, walhal sebenarnya tidak, wayang sekali lagi. Ingatan amaran Allah Wdalam Al-Qur’an:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu merosak sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan penerima), seperti orang yang menginfakkan hartanya karena riak (menunjuk) kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari akhir.” (Q.S. Al-Baqarah:264)
Yakinlah, jika kita dilaksanakan dengan ikhlas, kita akan mendapatkan pahala. Sebaliknya, ibadah yang dilakukan dengan tidak ikhlas maka dosalah jawapannya.
Rasulullah bersabda maksudnya, “Sesungguhnya Allah tidak melihat ke badanmu dan bentuk luarmu, melainkan melihat ke dalam hatimu”. (HR Muslim)
Hadis ini menjelaskan bahawa sifat ikhlas sangat tersembunyi. Tentu tidak mudah, tetapi kita perlu belajar tanpa jemu dan tanpa putus asa. Ini kerana hati dan sikap memerlukan waktu untuk dididik, perlu istiqamah dalam menjalankan ketaatan kepada Allah. Insaflah wahai pemimpin negaraku sebelum terlambat. Sementara pintu taubat masih terbuka, lakukanlah yang terbaik untuk negara ini, dengan ikhlas demi mu Palestin. TAKBIR…
Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah