Berita UtamaDuniaIstimewa

Negara penjenayah perang Israel, AS mahu ‘cekik’ Gaza hingga nafas terakhir

Malapetaka lebih besar jika Arab Saudi terus normalisasi dengan Israel

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 15 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Serangan ‘menggila’ penjenayah perang Israel ketika ini dijangka akan berterusan sehingga mereka mencapai objektif akhir menakluki Gaza.

Selagi Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya masih berkeras membantu Israel, maka usaha mendesak gencatan senjata dan mendapatkan bantuan kemanusiaan memang mustahil berlaku, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IRIS Institute, Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim.

Ini kerana, ada ataupun tiada gencatan senjata, kedua-duanya sudah tidak dapat mengalihkan persepsi negatif dan buruk dunia terhadap Israel dan AS.

Justeru, memberi nafas baru kepada penduduk Palestin dengan melaksanakan gencatan senjata jelas tidak membawa apa-apa manfaat kepada rejim pengganas Israel.

“Memang objektif dari awal serangan Israel ke atas Gaza ialah untuk hapuskan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dan tekan penduduk Gaza keluar kosongkan Gaza. 

“Tapi adakah objektif Israel ni berjaya atau tak, bergantung pada daya tahan Hamas dan penduduk Gaza.

“Jika penduduk Gaza mendapat makanan dan ada tempoh berehat semula, maka AS dan Israel akan berdepan dengan serangan balas yang lebih dahsyat. Jadi mereka mahu ‘cekik’ Gaza sehingga ke nafas terakhir,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Gencatan senjata pada asasnya bermakna menghentikan pertempuran. Gencatan senjata tertakluk kepada persetujuan semua pihak dan biasanya melibatkan proses formal politik dengan komitmen untuk mengurangkan konflik, seperti meletakkan senjata atau mengubah kedudukan pasukan. 

Ia cenderung untuk meliputi seluruh kawasan geografi di mana peperangan sedang dilancarkan. Ia mungkin membawa kepada penyelesaian kekal.

Namun, ini adalah pilihan jangka panjang yang ditolak oleh AS, United Kingdom (UK) dan negara lain, yang menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri — dengan meneruskan perangnya ke atas Gaza.

Sementara itu, mengulas pertelingkahan dalaman Israel, termasuk di kalangan pemimpin dan rakyat negara haram itu sendiri, Syed Ahmad Israa’ tidak menafikan ia mungkin satu faktor yang boleh merosakkan fokus Israel.

Tetapi, beliau menegaskan, berikutan peperangan ini sekarang sudah memiliki campur tangan pengurusan oleh AS, maka selagi objektif belum tercapai serangan akan terus berlaku.

Ketika ditanya mengenai laporan bahawa kemungkinan normalisasi antara Arab Saudi dan Israel diteruskan selepas perang tamat, Syed Ahmad Israa’ menyifatkan ia satu malapetaka besar jika benar berlaku.

“Jika Arab Saudi teruskan normalisasi dan diikuti pula oleh negara seperti Indonesia dan Malaysia, memang satu malapetaka besar kepada umat Islam kerana isu Palestin dan Masjid Al-Aqsa akan hilang sepenuhnya daripada agenda kerajaan-kerajaan Islam,” katanya.

Pada 24 Oktober lalu, The Times of Israel melaporkan Presiden AS, Joe Biden dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bersetuju untuk akhirnya ‘mengusahakan’ rundingan yang sedang dijalankan untuk menormalkan hubungan antara Israel dan Arab Saudi sebelum meletusnya perang Gaza, kata White House dalam teks daripada panggilan telefon kedua-dua pemimpin.

Biden dan Mohammed bin Salman menegaskan kepentingan bekerja ke arah keamanan yang mampan antara Israel dan Palestin sebaik sahaja krisis reda.

Serta meneruskan ‘kerja’ yang telah dijalankan antara Arab Saudi dan Amerika Syarikat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kata teks White House.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button