Berita UtamaDunia

Warga Russia serbu lapangan terbang, jejak penumpang tiba dari Tel Aviv

‘Pembunuh kanak-kanak tidak mempunyai tempat di Dagestan’

MAKHACHKALA, 15 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Sekumpulan penduduk tempatan di wilayah Dagestan yang kebanyakannya beragama Islam di Russia telah menyerbu Lapangan Terbang Antarabangsa Makhachkala untuk mencari penumpang Yahudi yang tiba dari Israel.

Video yang disiarkan ke media sosial menunjukkan ratusan lelaki muda, ada yang membawa bendera Palestin atau sepanduk mengecam Israel, menyerbu ke landasan lapangan terbang.

Penumpang yang baru tiba dari Tel Aviv terpaksa berselindung di dalam pesawat kerana takut diserang. Tiada sesiapa yang cedera parah atau terbunuh dalam serbuan itu.

Rusuhan itu dilaporkan berlaku selepas beberapa catatan di platform media sosial Telegram bahawa penerbangan dari Tel Aviv akan tiba petang itu bersama pelarian dari Israel.

Beberapa papan tanda yang dipegang penduduk tempatan itu bertulis, ‘Kami menentang pelarian Yahudi’ dan ‘Pembunuh kanak-kanak tidak mempunyai tempat di Dagestan’. 

Pihak berkuasa penerbangan Russia berkata pada lewat Ahad bahawa semua penduduk tempatan yang melakukan protes telah dikeluarkan dari lapangan terbang, manakala klip video yang tersebar dalam talian menunjukkan polis menahan beberapa penunjuk perasaan.

Pihak berkuasa agama tempatan mencadangkan supaya memindahkan kira-kira 800 keluarga Yahudi dari seluruh Dagestan, kebanyakannya di bandar selatan Derbent.

Tokoh-tokoh terkemuka di Dagestan memaklumkan, mereka menyokong Palestin dan menentang negara Israel sejak negara haram itu melancarkan serangan balas yang bertubi-tubi di Gaza sehingga membunuh lebih 8,000 orang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button