Sokongan MP Labuan kepada PM tindakan aneh, tak wajar
Sepatutnya sebarang tindakan perlu dirujuk terlebih dahulu dengan pimpinan: MP Mersing

BANGI, 16 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Keputusan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman beralih arah memberi sokongan kepada Perdana Menteri merupakan tindakan pelik dan tak wajar.
Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas menyuarakan pandangan itu berikutan sebelum ini semua Ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tegas menyatakan sokongan sebulat suara kepada Perikatan Nasional (PN).
“Kami sebenarnya sudah buat kenyataan bersama menyokong PN selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memutuskan menyokong kepimpinan Anwar pada 12 Oktober lalu.
“Disebabkan itu, saya pelik apabila Suhaili buat kenyataan semalam untuk menyokong Anwar.
“Ini kerana kenyataan sokong PN itu dibuat bersama dan Labuan pun ada datang Parlimen, minggu lepas,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.
Muhammad Islahuddin berpandangan, sebagai ahli parti sebarang tindakan Ahli Parlimen perlu dirujuk terlebih dahulu dengan pimpinan.
“Sebagai Ahli Parlimen baharu, bagi saya isu ini sering berlaku, cuma kali ini agak pelik kerana sudah ada Akta Lompat Parti.
“Saya harap Ahli Parlimen ‘senior’ dapat memberi tunjuk ajar melalui tindak-tanduk yang baik untuk dijadikan contoh kepada Ahli Parlimen yang masih muda,” katanya.
Beliau pada masa sama mengakui kekal dengan pendirian selama ini untuk terus teguh dan kekal bersama Bersatu.
Akuinya, meskipun berada di blok pembangkang dan tidak menerima peruntukan namun masih boleh membawa suara rakyat.
Semalam, Suhaili menerusi kenyataan menzahirkan sokongan beliau kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa serta merta.
Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira semua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, serta masalah bekalan air dan elektrik di sana.
“Saya sebagai Ahli Parlimen Labuan dengan ini mengisytiharkan untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar İbrahim, Perdana Menteri Malaysia Ke-10 bermula daripada kenyataan ini dikeluarkan.
Suhaili juga merupakan Ahli Parlimen kedua dalam PN yang beralih arah selepas Iskandar Dzulkarnain memutuskan untuk menyokong kepimpinan Anwar pada 12 Oktober lalu.