Al-Azhar gesa negara Islam beri bantuan kepada rakyat Palestin
Tentera Israel dilabel sebagai pengganas, langsung tiada sifat moral, kemanusiaan

ISTANBUL, 16 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Al-Azhar Al-Sharif – pusat pengajian tertinggi di dunia Islam Sunni – menyeru negara Islam memberi bantuan kepada rakyat Palestin di tengah-tengah kempen pengeboman udara Israel di Semenanjung Gaza.
Institusi itu menyifatkan, tentera Israel sebagai pengganas yang tidak mempunyai semua makna moral dan kemanusiaan malah membenarkan pelbagai jenayah kejam daripada mengebom hospital, memusnahkan masjid dan gereja kepada membunuh kanak-kanak, wanita, wartawan dan rakyat yang tidak bersalah.
“Al-Azhar menggesa kerajaan-kerajaan Arab dan negara-negara Islam untuk berlumba-lumba memberi bantuan kepada saudara-saudara mereka di Palestin dan menggerakkan keupayaan, kekayaan dan sumber kuasa mereka bagi menyokong mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Ia juga menuntut supaya pencerobohan entiti perampas kuasa ke atas rakyat Palestin ini dihentikan.
Pada masa sama, institusi yang berpangkalan di Mesir itu memuji negara, pertubuhan dan pegawai yang keluar mengutuk pembunuhan kejam beramai-ramai di Gaza dan menuntut pencerobohan Zionis dihentikan serta pembunuhan kanak-kanak dan orang yang tidak bersalah.
Tentera Israel telah meluaskan serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza, yang berada di bawah serangan udara tanpa henti sejak serangan mengejut oleh Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) ke wilayah haram Israel pada 7 Oktober.
Hampir 9,850 orang terbunuh dalam konflik itu, termasuk 8,306 rakyat Palestin dan lebih 1,538 warga Israel. – Agensi