Annuar Musa, Shahidan kini AJK Kerja PAS Pusat
Pelantikan dibuat hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam: Takiyuddin

BANGI, 16 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Dua bekas pemimpin UMNO iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim antara sembilan individu dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja PAS Pusat bagi penggal 2023 hingga 2025.
Pelantikan dua pemimpin itu diumumkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan melalui kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pelantikan dibuat hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung semalam, berdasarkan kepada peruntukan Fasal 25 dan Fasal 26 Perlembagaan parti.
Selain Annuar dan Shahidan, Takiyuddin turut menyenaraikan tujuh nama lain menyertai barisan AJK Kerja PAS Pusat iaitu bekas Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah dan ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud.
Turut dalam senarai lantikan bekas AJK PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, ADUN Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan bekas calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRN) DUN Simpang Jeram, Dr Mohd Mazri Yahya.
PAS turut mengumumkan 14 nama membarisi jawatan Pesuruhjaya Negeri/ Wilayah Persekutuan.
Mereka ialah Mohd Shukri Ramli (Perlis), Datuk Ahmad Saad@Yahaya (Kedah), Datuk Ahmad Yakob (Kelantan), Datuk Husain Awang (Terengganu), Muhammad Fauzi Yusoff (Pulau Pinang) dan Razman Zakaria (Perak).
Selain itu, Rosli Abdul Jabar (Pahang), Datuk Dr Ab Halim Tamuri (Selangor), Azhar Yahya (Wilayah Persekutuan), Rafiei Mustapha (Negeri Sembilan), Zulkifli Ismail (Melaka), Abdullah Husin (Johor), Dr Aliakbar Gulasan (Sabah) dan Jofri Jaraiee (Sarawak).