Berita Utama

Bibit pertikaian DAP seolah ke arah naratif pro-Israel: DUPP

‘Adakah DAP berdiri di atas naratif sama dengan Barat, anggap Hamas pengganas?’

BANGI, 16 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) kesal kerana seolah-olah wujud kumpulan yang mahu menyeleweng naratif perjuangan solidariti Palestin.

Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, larangan terhadap laungan takbir dan kecaman ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjelaskan usaha memesongkan perjuangan umat Islam di negara Palestin.

Bahkan, senjata mainan yang dibawa murid ke sekolah menerusi penganjuran program berkaitan solidariti Palestin baru-baru ini, turut menjadi pertikaian, terutama dalam kalangan pemimpin DAP sehingga mengetepikan perbahasan mengenai kesedaran rakyat berkenaan isu itu.

“DUPP ingin menegaskan kepada pemimpin DAP khususnya bahawa solidariti terhadap keganasan yang sedang memuncak di bumi Gaza lebih utama daripada pertikaian terhadap senjata mainan yang dibawa ke sekolah.

“Sebahagian pemimpin dunia pro-Israel hari ini mempertahankan naratif Hamas sebagai kumpulan pengganas di sebalik berbicara mengenai keganasan, kezaliman dan kekejaman rejim Zionis Israel selama lebih tujuh dekad.

“Apakah pemimpin DAP dan kumpulan liberal mahu bergerak ke arah naratif yang sama walaupun mereka tidak menzahirkan secara terang sokongan terhadap Israel?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad berkata, bibit-bibit pertikaian yang dibangkitkan DAP dan kumpulan tertentu memberikan gambaran mereka juga mahu berdiri di atas naratif sama.

“Apakah pada akhirnya mereka juga mahu mengatakan serangan Israel itu juga adalah sebahagian daripada ‘self-defense’, sebagaimana naratif kumpulan pro-Israel pada hari ini?

“DUPP menganggap pertikaian-pertikaian tidak perlu yang dibangkitkan oleh sebahagian pemimpin DAP ini sebagai kemuncup di tengah padang yang luas.

“Jika dihiraukan sudah tentu akan merencatkan agenda solidariti yang lebih utama. Lebih baik diabaikan daripada dilayan kemuncup tersebut,” katanya.

Terdahulu, DAP meluahkan rasa terkilan dengan penganjuran satu program di sebuah sekolah rendah yang memaparkan unsur-unsur keganasan dan ekstremisme dengan penggunaan replika senjata.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, DAP menentang sebarang bentuk keganasan dan membantah semua bentuk program yang mempamerkan unsur-unsur kekerasan bersenjata di semua sekolah yang membabitkan murid-murid pada usia yang muda.

Dakwanya, program seumpama itu hanya akan memberikan mesej dan pengajaran yang salah kepada generasi muda.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button