PA tolak tadbir Gaza jika Israel menang perang
Mahu Tebing Barat dilibatkan dalam penyelesaian menyeluruh dua negara berdaulat: Shtayyeh

RAMALLAH, 16 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Jika Israel menggulingkan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) di Semenanjung Gaza, Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak akan kembali mentadbir wilayah itu melainkan ada penyelesaian menyeluruh yang turut melibatkan Tebing Barat, kata Perdana Menteri PA, Mohammad Shtayyeh.
Sebelum ini, The Guardian memetik sumber tentera Israel yang tidak dinamakan sebagai berkata, rancangan menamatkan perang Gaza adalah untuk mewujudkan pihak berkuasa peralihan selepas Hamas digulingkan, mungkin dikendalikan oleh negara Arab, dan kemudian akhirnya menyerahkan ia kepada PA.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh pada Isnin berkata, PA tidak akan bekerjasama tanpa kembali kepada proses damai tulen yang menghasilkan dua negara berdaulat.
“Untuk meminta Pihak Berkuasa Palestin pergi ke Gaza dan melaksanakan hal ehwal Gaza tanpa penyelesaian politik untuk Tebing Barat, seolah-olah Pihak Berkuasa Palestin ini menaiki F-16 atau kereta kebal Israel?
“Presiden kita (Mahmoud Abbas) tidak menerimanya. Tiada seorang pun daripada kami akan menerimanya,” katanya kepada saluran berita Guardian.
Menurut Shtayyeh, apa yang diperlukan adalah visi komprehensif dan damai dalam rangka penyelesaian dua negara.
“Saya rasa apa yang kita perlukan ialah visi yang komprehensif dan aman. Tebing Barat memerlukan penyelesaian, dan kemudian menghubungkan Gaza kepadanya dalam rangka penyelesaian dua negara,” kata Shtayyeh, yang telah menjadi Perdana Menteri PA sejak 2019.
Katanya, keutamaan pertama adalah menghentikan pengeboman ke atas Gaza serta keganasan di Tebing Barat, di mana 8,306 rakyat Palestin dibunuh sejak tiga minggu lalu oleh pasukan keselamatan dan penjajah Israel.
Kepimpinan PA telah menggesa sidang kemuncak tergempar Arab yang diharapnya akan berlangsung pada 10 November ini, untuk memulihkan perpaduan dalam mencipta negara Palestin yang berfungsi.
Menjawab kemarahan orang ramai terhadap PA yang tidak mampu mempertahankan rakyat Palestin, Shtayyeh menegaskan bahawa mereka tidak akan sekali-kali meninggalkan dasar menolak keganasan untuk mendapatkan semula populariti.
“Presiden Abbas boleh menjadi popular dalam satu minit. Dia boleh berkata “baiklah saya mengarahkan pasukan keselamatan Palestin untuk menembak orang Israel”, tetapi dia seorang yang realistik,” katanya.
Namun, Shtayyeh mengaku kemarahan rakyat Palestin terhadap PA semakin meningkat dan keadaan di Tebing Barat menjadi semakin tegang dan berbahaya.
“Kami tersepit” katanya. – Agensi