Sekolah persendirian Cina, mubaligh patut turut sama suburkan program solidariti Palestin
Bantahan PKR, DAP terhadap Minggu Solidariti Palestin disifat sebagai dangkal, tak matang

BANGI, 16 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Bantahan dikemukakan DAP dan 12 wakil rakyat PKR berhubung program Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam anjuran Kementerian Pendidikan disifatkan sebagai dangkal serta tidak matang.
Ini kerana, ia hanya berbekalkan dengan satu atau dua imej tular di media massa yang belum disahkan tujuan dan sebab gambar sedemikian diambil, kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar.
“Pihak DAP, MCA dan Gerakan serta lain-lain sepatutnya menyeru agar semua sekolah-sekolah di Malaysia termasuk sekolah persendirian Cina dan mubaligh menyuburkan program solidariti untuk Palestin.
“Ia supaya segenap rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan keturunan bersama-sama bersatu hati dalam isu Palestin ini sekali gus mendekatkan hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan disiarkan hari ini.
Terdahulu, seramai tiga Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR menggesa KPM mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam.
Mereka menjelaskan keputusan mengadakan program sedemikian patut dikaji semula supaya sekolah dan institusi awam bebas daripada unsur kedendaman dan keganasan.
Sementara DAP pula meminta KPM mempertimbangkan semula penganjuran program Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah dan menggunakan pendekatan yang lebih sesuai untuk menyampaikan mesej di kalangan murid-murid sekolah.
Ia susulan penganjuran satu program di sebuah sekolah rendah yang menurutnya memaparkan unsur-unsur keganasan dan ekstremisme dengan penggunaan replika senjata.
Dalam perkembangan sama, Rosli berkata, PAS Pahang mengucapkan tahniah kepada KPM atas inisiatif melaksanakan program ini.
Menurutnya, program Minggu Solidariti Palestin yang bermula pada 29 Oktober hingga 3 November depan perlu diteruskan.
“Namun, PAS Pahang melihat garis panduan yang dikeluarkan sedikit mengabaikan kebijaksanaan para guru dalam menilai aspek dan elemen keganasan.
“Ini kerana semua telah sedia maklum bahawa KPM sentiasa menganjurkan bulan kemerdekaan saban tahun di mana guru-guru dan pelajar telahpun membuat pelbagai persembahan termasuk pantomim dan lain-lain yang menepati semangat dan ciri penjuang kemerdekaan sejak sekian lama,” katanya.