Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita UtamaPendapat

Peranan kerajaan dalam isu Palestin

Malaysia mesti berani menongkah arus bantah penyelesaian 'Two State Solution'

KITA sering terbelenggu dengan idea bahawa dalam isu Palestin, pemain utamanya adalah badan-badan dan pertubuhan bukan kerajaan. Sering kali pertubuhan bukan kerajaanlah yang ke depan bila berlaku apa-apa isu di Palestin. Manakala kerajaan sendiri, sudah agak lama tidak mengambil peranannya yang sepatutnya dimainkan. Dan adakalanya bersaing dengan pertubuhan bukan kerajaan dalam ruang peranan yang sama, melupakan peranannya sebagai kerajaan sebuah negara yang tidak boleh dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan.

2. Pagi ini saya membaca artikel ilmiah yang pernah ditulis oleh Dr Azlizan Mat Enh, seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Artikel ilmiah ini berkisar di sekitar peranan yang dimainkan oleh Kerajaan Malaysia yang ketika itu dipimpin oleh Tun Mahathir. Saya kongsikan secara ringkas sebahagian noktah yang berkaitan dengan isu Palestin yang berlaku sekarang dengan sedikit ulasan. Tulisan saya ini mungkin bercampur-campur antara data dalam artikel beliau dan bacaan saya sendiri.

3. Konflik Bosnia – Serbia berlaku sekitar tahun 1992-1995. Penduduk Bosnia adalah 44 peratus orang Islam, 31 peratus orang Serbia yang beragama Kristian Ortodok. Bakinya adalah Kristian Katolik dan lain-lain. Jika kita ke Bosnia, kita boleh melihat masjid dan gereja dengan seni bina lambang Kristian Ortodok dan Kristian Katolik. Berapakah bilangan yang terkorban? Ini adalah angka yang masih menjadi perbahasan. Tetapi dunia mengakui bahawa ini adalah tragedi pembunuhan terbesar yang berlaku selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

4. Sukar untuk menafikan faktor agama antara faktor utama konflik ini berlaku. Serbia berdendam dengan orang Islam sejak dari penguasaan kerajaan Othmaniah terhadap Bosnia dalam satu sejarah yang panjang. Ditambah pula dengan langkah Alija Izetbegovic, Presiden Bosnia yang baru selepas terpecahnya Kerajaan Yugoslovia untuk mengukuhkan kedudukan Islam di Bosnia. Serbia mahu menakluk Bosnia untuk duduk di bawah kerajaannya. Lalu terjadilah perang besar dan pembunuhan beramai-ramai sehingga Disember 1995. Antara kesan yang masih ditanggung dari perang itu adalah penggiliran jawatan tertinggi politik di Bosnia antara etnik Bosnia (Muslim), Serbia (Kristian Ortodok) dan Croatia (Kristian Katolik).

5. Di sini kita masuk kepada apa yang Kerajaan Malaysia mainkan dalam isu perang yang sebenarnya jauh dari negara kita dan tidak ada pertalian sejarah pun dengan Malaysia. Jika kita meneliti apa yang dimainkan oleh Malaysia sebagai negara pada ketika itu, kita boleh faham apa yang sepatutnya dimainkan oleh Malaysia sekarang dalam isu Palestin hari ini.

6. Malaysia sebagai kerajaan di bawah pimpinan Tun Mahathir ketika itu pada awalnya mengambil langkah menyandarkan kepada PBB untuk menyelesaikan peperangan di Bosnia. Mungkin kerana janji Clinton ketika kempen pilihan raya presiden Amerika yang mengatakan dia akan menghentikan perang atau mungkin kerana bersangka baik kepada PBB yang kononnya adalah badan tertinggi yang boleh menjaga keselamatan dunia.

7. Pendirian ini berubah atas beberapa sebab. Di sini kita kena puji kerajaan ketika itu kerana sentiasa membaca tindak tanduk PBB dan membuat tindakan yang bersesuaian dengan tindakan yang tersurat dan tersirat dari PBB tersebut. Membaca senario adalah kemahiran yang mesti ada pada semua pemimpin politik apatah lagi pemimpin politik yang menerajui negara. Ini satu noktah besar yang kita boleh bandingkan dengan kebolehan kerajaan sekarang.

8. Dari awal Malaysia ketika itu berpegang kepada kaedah penyelesaian yang tersimpul dalam satu kata kunci yang penting iaitu ‘Bosnia mesti diberikan senjata’. Perubahan sikap Malaysia terhadap PBB saya yakin amat berkait rapat dengan kata kunci itu. Ini kerana Malaysia mengubah pendekatannya apabila berlaku beberapa insiden berikut:

– PBB mengambil pendekatan menyelesaikan konflik dengan rundingan damai. Boutros Ghali, SU PBB ketika itu asyik menyalahkan kononnnya Serbia dan Bosnia kedua-duanya bersikap degil dan menyukarkan rundingan damai.

– AS tidak mahu menghantar tentera ke Bosnia

– Hasrat Jerman untuk menggunakan tentera ke atas Serbia ditentang oleh Russia dan Perancis, dua negara veto dalam PBB.

– PBB menutup mata terhadap bekalan senjata yang diberikan oleh Yugoslav National Army kepada Serbia. Juga membiarkan puak Croatia turut serta menyerang Bosnia selepas itu.

– PBB selalu dilihat berunding dengan Serbia dan Croatia.

9. Apa langkah yang Malaysia ambil selepas itu?

– Tun Mahathir membawa isu ini ke Parlimen. Dewan Rakyat bersetuju dengan beberapa langkah tindakan yang digariskan. Persetujuan ini adalah persetujuan dari semua ahli Parlimen tanpa mengira parti. Satu ketetapan secara rasmi dari Parliman mengutuk tindakan Serbia dalam pembersihan etnik Bosnia. Ketetapan ini disampaikan pula kepada Parlimen UK, Perancis dan beberapa negara lain.

– Malaysia seterusnya mengambil kesempatan di persidangan NAM dan OIC untuk membawa pandangan Malaysia dan mempengaruhi keputusan sidang. Suka saya kongsikan untuk persidangan NAM, Tun Mahathir telah mengambil langkah mempengaruhi Suharto terlebih dahulu. Suharto asalnya tidak setuju untuk dibawa isu Bornia di persidangan NAM. Akhirnya isu Bosnia berjaya dibincangkan di NAM. Manakala OIC pula, Tun Mahathir mengambil langkah menjemput persidangan OIC di PWTC. Sebanyak 13 negara hadir dan bersidang tentang isu Bosnia.

– OIC dan NAM akhirnya menghantar surat dengan usul ketetapan berikut:
a. Mendesak Boutros Ghali, SU PBB ketika itu meletakkan jawatan kerana gagal memainkan peranan.
b. Tarik sekatan senjata ke atas Bosnia.
c. Tubuh tribunal khas mendakwa Slobodan Milosevic dan lain-lain atas jenayah perang tersebut. Kesan dari itu, Jeneral Ratko Miladic disabitkan kesalahan penghapusan etnik. Manakala Slobodan Praljak membunuh diri di mahkamah selepas dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun. Manakala Slobodan sendiri dibicarakan pada 1999 dan menerima protes dari rakyatnya sendiri. Beliau dipenjarakan atas beberapa kesalahan lain dan mati di dalam penjara.

– Tidak cukup sekadar resolusi dan usul di peringkat serantau dan antarabangsa, satu lagi langkah yang diambil oleh Malaysia ketika itu yang besar juga adalah operasi menghantar tentera. Bermula dengan Malbat 1 seramai 996 dan ditingkatkan ke Malcon 1 seramai 1,533 anggota.

– Melihat kepada kepura-puraan UNPFOFOR di bawah PBB, satu keputusan besar yang terkandung secara halus di dalam senarai peranan pasukan tentera Malaysia yang dihantar ke Bosnia ini dibuat. Malaysia ketika itu memberikan satu tugasan tambahan kepada tentera di Bosnia, luar daripada tugasan biasa menjaga keamanan, mencegah dari merebaknya peperangan, bekalan makanan, bina semula jambatan dan sebagainya. Apa tugasan tambahan itu? Bertukar dari peranan sebagai ‘peace keeping’ kepada terlibat dengan operasi perang jika diperlukan. Perbelanjaan yang direkodkan meningkat kepada RM93,971,000. Ini signal penting kepada Serbia, AS, UK dan lain-lain negara di Barat.

– Adakah Malaysia memang ada berikan senjata secara rahsia kepada Bosnia? Ini persoalan yang menarik untuk dibincangkan di lain kesempatan.

– Perlu juga untuk dilihat di sini peranan Malaysia, tidak terhenti setakat itu sahaja. Sebaliknya Malaysia berjaya mengajak beberapa negara lain untuk memberi bantuan perdagangan, ekonomi dan teknikal kepada Bosnia. Malaysia sendiri mengambil langkah menjalankan program Pemulihan Pelarian Bosnia di Malaysia yang memakan belanja hingga Mac 1994 sahaja sebanyak RM1,337,615.00. Program Perlindungan Sementara Tabung Mangsa Bosnia pula dapat mengumpulkan RM3,268,746.04.

10. Perang Bosnia telah tamat. Sekarang berlaku pula perang Taufan Al-Aqsa dan berlarutan pula kepada perang apa pula selepas ini, kita tidak tahu. Yang pastinya ia akan berlarutan dan panjang.

11. Cadangan saya di sini kepada kerajaan, secara asasnya mainkanlah peranan sebagai kerajaan atas kapasiti kerajaan. Janganlah ambil langkah bersaing dengan pertubuhan bukan kerajaan. Pertubuhan bukan kerajaan buat demonstrasi dan himpunan, kerajaan pun hendak buat demonstrasi dan himpunan.

Pertubuhan bukan kerajaan buat kutipan tabung, kerajaan pun buat kutipan tabung ala NGO juga. Sepatutnya kerajaan ambillah tindakan di peringkat serantau dan antarabangsa. Kalau hendak buat sumbangan pun, biarlah sasaran jumlah sumbangan itu berpadanan dengan kapasiti kerajaan sebuah negara. Kalau setakat bawah RM100 juta, itu serahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan sahaja. Kerajaan patut sumbang RM10 bilion ke contohnya, barulah padan sebagai negara. Itu belum masuk lagi mesej salah yang kerajaan sendiri laungkan dalam isu Palestin ini bila terlalu menekankan aspek kemanusiaan dan keharmonian sampai isu Palestin sebagai mangsa perang ganas Israel tenggelam.

12. Malaysia mesti berani menongkah arus dengan menyatakan bantahan terhadap penyelesaian ‘Two State Solution’. Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra pada 8 Oktober 2023 yang lepas, selain daripada tidak ada kutukan yang kuat terhadap Israel, Malaysia masih melaungkan seruan kembali ke sempadan 1967. Kalau Malaysia mengambil langkah berani begini, barulah saya boleh percaya yang Perdana Menteri kita diugut oleh negara Barat. Pendirian begini penting untuk membuka satu arus di kalangan negara-negara Islam yang lain agar berani melaungkan seruan penyelesaian yang sama iaitu ‘menamatkan penjajahan secara mutlak dan mengembalikan setiap inci tanah Palestin kepada penduduk asalnya yang dihalau bermula dari 1948.’

13. Malaysia juga mesti berani mengusulkan bekalan senjata dari negara Islam kepada Palestin sebagai balasan AS dan sekutu-sekutunya menggerakkan aset ketenteraan mereka ke Timur Tengah. Seterusnya berunding dengan negara Islam lain untuk tujuan itu. Runding terang-terang ke runding belakang ke, itu terpulang. Bagaimana Palestin hendak mempertahankan diri tanpa senjata dalam keadaan mereka diserang siang dan malam sejak 1948 dengan pelbagai jenis senjata?

14. Malaysia perlu meluluskan satu jumlah dana yang bersesuaian dengan keperluan Palestin yang hancur. Bukan RM100 jutalah sudah semestinya. Angkanya mesti bilion-bilion. Subsidi pun dah banyak kena potong, tentu kerajaan sudah ada banyak lebihan sekarang. Pembangunan sebuah negara yang hancur kerana perang, tidak akan mampu untuk ditanggung oleh rakyat yang menyumbang kepada pertubuhan bukan kerajaan.

15. Perdana Menteri perlu mempengaruhi ahli Parlimen; kerajaan atau pembangkang untuk bersetuju dengan usul-usul tersebut. Di sinilah akan teruji sejauh mana kuatnya ‘aura’ seorang pemimpin tertinggi negara dalam memastikan dia masih ada pengaruh mengatasi segalanya. Habiskan masa dan tenaga serta segala pemikiran ke arah itu. Jangan buang masa dan tenaga bersaing dengan pertubuhan bukan kerajaan.

16. Banyak lagi peranan yang kerajaan boleh mainkan jika kita perhalusi. Saya tinggalkan pembaca untuk berfikir sejenak tentang apa yang saya tulis. Perdana Menteri kita selalu cuba menyaingi Perdana Menteri sebelumnya terutama Tun Mahathir. Ini peluang jika beliau ingin membuktikan beliau Perdana Menteri terbaik yang pernah dimiliki oleh negara.

Wallahu a’lam

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button