Berita Utama

104 unit ventilator gagal berfungsi dibeli zaman Adham Baba

KKM diberi masa dua bulan untuk jawab lima syor dikemukakan PAC

KUALA LUMPUR, 18 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Pembelian 104 unit ventilator yang gagal berfungsi dibuat sewaktu Datuk Seri Dr Adham Baba berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan perkara itu pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

“Memang semua sudah sedia maklum, ini (berlaku) di bawah, sewaktu menteri (kesihatan) Dr Adham Baba.

“Yang Berhormat (YB) KJ (Khairy Jamaluddin) pun sudah bagi kenyataan (menafikan perolehan peralatan ventilator) bukan dibuat ketika beliau menjawat jawatan berkenaan,” katanya seperti dilapor BH.

Hasil prosiding PAC setebal 120 muka surat yang dimuatnaik menerusi laman web Parlimen pada Isnin lalu mendedahkan, sebanyak 104 unit ventilator tidak dapat digunakan selain tiada perjanjian bertulis dimeterai antara KKM dan syarikat pembekal, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB).

Menurut PAC, ketiadaan perjanjian bertulis antara KKM dan PLSB menyebabkan tiada mana-mana pihak boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.

Susulan pembentangan Laporan PAC berhubung Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) di bawah KKM, Mas Ermieyati menegaskan pihaknya memberi masa dua bulan kepada kementerian itu untuk menjawab lima syor dikemukakan jawatankuasa terbabit.

Katanya, PAC akan mengutuskan surat kepada KKM bagi memaklumkan mengenai perkara itu.

Dr Adham dilantik menerajui Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Kabinet Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 2020.

Portfolio itu bertukar ke tangan Khairy Jamaluddin ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button