Berita Utama

Perang Gaza tak jejas persiapan haji tahun depan

Tiada isu pengurangan kuota, masih tunggu jawapan Arab Saudi

BANGI, 18 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Peperangan yang berlaku di Gaza tidak akan menjejaskan Lembaga Tabung Haji (TH) membuat persiapan pengurusan operasi haji Malaysia untuk tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, sekiranya peperangan itu masih berlarutan, persiapan luar biasa akan dilakukan dengan panduan yang dikeluarkan Arab Saudi dan Kementerian Luar.

“Kita tertakluk kepada panduan, nasihat daripada Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Haji (dan Umrah) Arab Saudi.

“Mereka akan menentukan dan apa sahaja arahan dan panduan serta nasihat yang diberikan, akan dipatuhi TH.

“Sudah tentu Kerajaan Arab Saudi memikirkan isu keselamatan ini dan menjadi keutamaan untuk jamin keselamatan bakal jemaah-jemaah haji,” katanya.

Beliau pada masa sama, menolak kemungkinaan untuk membuat pengurangan kuota Jemaah haji tahun ini disebabkan perang di Gaza.

“Permohonan bagi kuota tambahan jemaah haji Malaysia musim hadapan telah dilakukan dan kita TH masih menunggu jawapan daripada Arab Saudi.

“Segala persiapan yang dibuat TH mengambil kira kuota seramai 31,600 bakal jemaah haji yang akan melakukan ibadah itu nanti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button