Berita Utama

Pihak bantah solidariti Palestin dangkal, masih tak faham hakikat Israel penjajah

Segala perjuangan menentang penindasan perlu disokong

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 18 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Cubaan pihak yang mahu merendahkan usaha perjuangan pembebasan Palestin daripada negara haram Israel menunjukkan kedangkalan pemikiran mereka yang meletakkan sesuatu isu tidak kena pada tempatnya.

Keadaan itu sekali gus membuktikan di negara ini wujud golongan yang kepanasan apabila Israel dihentam dan dicerca oleh majoriti rakyat yang kian sedar hakikat peperangan di Palestin.

Mengecam tindakan sedemikian, Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Muhammad Aizat Rasli menegaskan, Malaysia secara undang-undangnya tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara berdaulat.

Justeru, segala perjuangan menentang penindasan perlu disokong kerana Israel jelas adalah penjajah dan penjenayah perang.

“Perjuangan Palestin menentang pencerobohan Israel merupakan isu yang sangat dekat di hati umat Islam dengan keberadaan kiblat pertama umat Islam di Baitulmaqdis.

“Selain merupakan bandar suci ketiga umat Islam, Baitulmaqdis dan seluruh kawasan Palestin adalah sebahagian daripada bumi para anbiya,” katanya dalam satu kenyataan dikongsikan kepada Ismaweb.net.

Selain itu, Aizat menyifatkan, kenyataan yang dikeluarkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik tertentu yang menggesa politik antarabangsa, pertikaian agama dan laungan perang dijauhkan dari sekolah adalah sangat tidak sensitif dan tidak bertanggungjawab.

Tegasnya, beliau menentang tindakan yang menghalang institusi pendidikan daripada mengadakan sebarang bentuk solidariti terhadap perang Israel-Palestin kononnya atas dasar berkecuali dan tidak membabitkan pelajar dengan konflik antarabangsa.

“Nilai pendidikan apakah yang hendak diterapkan pada anak-anak kita sekiranya orang yang ditindas tidak dibela dan dipertahankan?

“Tindakan pihak-pihak yang mempersoalkan pelaksanaan solidariti di institusi pendidikan hanya menimbulkan provokasi yang tidak sepatutnya dan menggugat keharmonian identiti negara yang berteraskan Islam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan,” katanya.

Terdahulu, seramai tiga Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR menggesa KPM mengkaji semula keputusan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dan institusi pendidikan awam yang bermula pada 29 Oktober hingga 3 November ini.

Mereka menjelaskan keputusan mengadakan program sedemikian patut dikaji semula supaya sekolah dan institusi awam bebas daripada unsur kedendaman dan keganasan.

Sementara DAP pula meminta KPM mempertimbangkan semula penganjuran program Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah dan menggunakan pendekatan yang lebih sesuai untuk menyampaikan mesej di kalangan murid-murid sekolah.

Ia susulan penganjuran satu program di sebuah sekolah rendah yang menurutnya memaparkan unsur-unsur keganasan dan ekstremisme dengan penggunaan replika senjata.

Berita berkaitan;

Sekolah diarah kawal Minggu Solidariti Palestin elak cetus masalah

Replika senjata alasan DAP campur tangan urusan Islam


https://ismaweb.net/2023/10/31/sekolah-persendirian-cina-mubaligh-patut-turut-sama-suburkan-program-solidariti-palestin/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button