Tiada rancangan laksana semula GST: PM
Perubahan dasar cukai ambil kira kesan ekonomi, kos sara hidup

KUALA LUMPUR, 18 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Kerajaan belum mempunyai rancangan untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kerajaan belum mahu memperkenalkan semula GST. Sebarang perubahan kepada dasar cukai perlu mengambil kira kesan ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
“Justeru, kerajaan akan terus memantau keadaan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah fiskal yang bersesuaian dengan jangka pendek dan sederhana,” kata Perdana Menteri dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 1 November.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (PN-Tanjung Karang) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula GST.
Terdapat gesaan supaya cukai kontroversi itu diperkenalkan semula, lapor The Star.
Pada 11 September, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, melaksanakan semula GST masih kekal sebagai pilihan.
Bagaimanapun, ketika mengumumkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober, Anwar sebaliknya berkata, kerajaan bercadang untuk menaikkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Cukai perkhidmatan dinaikkan daripada 6 peratus kepada 8 peratus tetapi tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.