Berita Utama

Bantuan awal Gaza dari Malaysia diterbangkan ke Kaherah malam ini

Barangan perubatan, bayi dan makanan antara bantuan peringkat pertama

BANGI, 19 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Bantuan peringkat awal bagi sumbangan kepada rakyat Gaza di Palestin dijadualkan dihantar ke Kaherah, Mesir kira-kira jam 10 malam ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, bantuan sebanyak 20 tan menerusi Ops Ihsan terdiri daripada barangan perubatan, barangan bayi dan makanan.

Ia menjadi bantuan peringkat pertama yang akan dihantar manakala barangan lain bakal menyusul selepas ini.

“Alhamdulillah berkat usahasama dan penyelarasan yang baik, kita berjaya mengumpulkan lebih 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh Malaysia dalam misi kali ini yang dinamakan Ops Ihsan.

“Kementerian Luar Negeri sebagai koordinator dalam memastikan setiap jenis bantuan yang diperlukan, proses pengumpulan dan penghantaran yang dilakukan menjadi lebih teratur dan teliti.

“Terima kasih kepada semua NGO, sukarelawan dan pihak yang terlibat dalam misi kali ini yang pertama kali berjaya mengumpulkan NGO-NGO ini di bawah satu bumbung bergerak bersama,” katanya.

Terdahulu, beliau membuat lawatan ke gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam (MAPIM) di Bandar Serenia, Sepang.

Gudang berkenaan menjadi lokasi pengumpulan segala jenis bantuan dan sumbangan orang ramai dan NGO yang akan dihantar ke Palestin.

Kesemua barangan bantuan kemanusiaan Ops Ihsan itu akan diterbangkan dengan kapal terbang kargo yang disewa khas oleh kerajaan Malaysia ke El-Arish, Mesir.

Ops Ihsan merupakan inisiatif yang dilancarkan oleh Kementerian Luar dengan kerjasama 45 buah NGO, antaranya Global Peace Mission Malaysia, Mercy Malaysia, BeVital, MyAqsa Defenders, ABIM, Aman Palestin, Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Cinta Gaza Malaysia dan juga Malaysian Relief Agency (MRA).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button