Bantuan kemanusiaan di Gaza terhalang akibat serangan darat Israel
Hospital kanser utama habis bahan api, nyawa 70 pesakit dalam bahaya

GAZA, 19 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) menegaskan serangan darat Israel menghalang usaha penyerahan bantuan kepada 300,000 penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza.
Tentera pengganas Israel giat meluaskan serangan udara dan darat ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu, menandakan hampir sebulan wilayah itu berdepan pengeboman tanpa henti.
“Operasi darat Israel yang berterusan di utara Gaza menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan kepada kira-kira 300,000 orang yang hilang tempat tinggal,” kata OCHA dalam satu kenyataan.
Rabu lalu, Hospital Persahabatan Turkiye-Palestin, satu-satunya hospital awam untuk pesakit kanser di Semenanjung Gaza, tidak beroperasi kerana serangan Israel dan kekurangan bahan api.
“Hospital kanser utama Gaza kehabisan bahan api dan terpaksa menghentikan perkhidmatannya, sekali gus meletakkan nyawa 70 pesakit kanser dalam bahaya,” kata kata OCHA.
Sejak konflik tercetus, sejumlah 9,061 rakyat Palestin syahid dalam serangan ganas rejim Israel ke atas wilayah terkepung itu.
Selain jumlah korban yang tinggi, Gaza juga berdepan pemindahan penduduk secara besar-besaran, termasuk kekurangan bekalan asas akibat pengepungan Israel. – Agensi