Israel dakwa sudah kepung Gaza
Tentera rejim pengganas berdepan risiko besar serangan periuk api, jerangkap samar Al-Qassam

GAZA, 19 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Rejim pengganas Israel mendakwa sudah mengepung Bandar Gaza di Semenanjung Gaza, susulan tindak balas mereka ke atas Palestin selepas serangan Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) pada 7 Oktober lalu.
Bandar di utara Semenanjung Gaza itu menjadi tumpuan rejim pengganas dalam melancarkan serangan habis-habisan bagi mencapai misi memusnahkan markas pentadbiran Hamas, dengan mengarahkan orang awam melarikan diri ke selatan.
“Kami berada di puncak pertempuran dan mencapai kejayaan yang mengagumkan dan telah melepasi bandar Gaza, kami akan meneruskan usaha lagi,” kata Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan tanpa memberikan butiran lanjut.
Sementara itu, jurucakap rejim pengganas Israel, Laksamana Muda Daniel Hagari berkata, pasukannya telah menyelesaikan tindakan mengepung bandar Gaza yang menjadi pusat tumpuan Hamas.
Dalam pada itu, Ketua Juruteranya, Brigedier Jeneral Iddo Mizrahi pula berkata, pihaknya kini masih berdepan risiko besar membabitkan serangan periuk api dan jerangkap samar.
“Hamas sudah melakukan persiapan dengan baik,” katanya.
Hamas melalui sayap ketenteraannya, Briged Al-Qassam kini menentang serangan bertali arus berkenaan melalui serangan hendap dari rangkaian terowong bawah tanah.
Dalam pada itu, jurucakap Hamas, Abu Ubaidah dalam ucapan di televisyen semalam memaklumkan jumlah kematian rejim pengganas di Gaza jauh lebih tinggi daripada yang diumumkan selama ini.
“Tentera anda akan kembali dengan beg hitam,” katanya.
Sehingga kini, negara haram itu mendakwa pihaknya hanya kehilangan 18 orang tentera dan berjaya membunuh puluhan pejuang Hamas sejak operasi darat diperluaskan bermula Jumaat lalu. – Agensi