MAIM wujudkan Pelan Induk Pembangunan Harta Wakaf
Keseluruhan tanah berwakaf bawah kelolaan MAIM sebanyak 822 lot

MELAKA, 19 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah mewujudkan Pelan Induk Pembangunan Harta Wakaf yang lebih komprehensif bagi memastikan pengurusan wakaf lebih cekap dan dapat memaksimumkan mobilisasi aset wakaf pada masa hadapan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, di bawah Pelan Induk itu usaha-usaha sedang giat dilaksanakan bagi mengenal pasti, merancang dan melaksanakan program-program pembangunan harta wakaf yang berpotensi tinggi untuk dimajukan.
“Di negeri Melaka, keseluruhan tanah berwakaf di bawah kelolaan MAIM adalah sebanyak 822 lot dengan anggaran keluasan berjumlah 319 hektar, meliputi penggunaan 485 lot tanah atau 59 peratus wakaf am.
“Ia terdiri daripada premis kediaman dan perniagaan, klinik, hotel, rumah anak yatim, dewan, tanah pertanian, tanah kosong dan sebagainya, manakala baki 41 peratus iaitu 337 lot tanah adalah wakaf khas yang digunakan untuk tujuan masjid, surau, tanah perkuburan, sekolah agama serta pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran Berwakaf sempena Bulan Wakaf peringkat negeri di Auditorium Masjid Al- Azim dan turut dihadir Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, antara pembangunan harta wakaf yang diurus dengan jayanya oleh MAIM adalah seperti pembinaan Kompleks Al-Ehsan di Tengkera untuk penempatan asnaf zakat dan pembinaan Hotel Wakaf di Pantai Puteri yang dibangunkan dengan usahasama dari Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR).
Beliau berkata, menyedari potensi sumbangan wakaf secara tunai pada masa kini, MAIM juga telah melancarkan portal i-waqaf.maim.gov.my bagi memudahkan umat Islam bukan sahaja di Melaka, bahkan di seluruh negara, untuk berwakaf secara tunai.
Katanya, hasil kutipan dana wakaf akan disalurkan untuk tujuan pembangunan, perubatan, pendidikan dan pengambilan atau pembelian tanah bagi pembinaan tapak masjid dan pembangunan berkaitan keagamaan yang lain.
Sebanyak RM3.7 juta kutipan wakaf direkodkan pada 2022 manakala 1.05 juta sejak Januari hingga September tahun ini di Melaka. – Bernama