Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

PN tak mahu teruskan rundingan isu peruntukan pembangkang

Dakwa kerajaan letak syarat untuk dapatkan peruntukan

BANGI, 19 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Wakil rakyat pembangkang tidak akan meneruskan rundingan mengenai peruntukan sama rata kepada mereka.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sudah dua kali mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM 2) Datuk Seri Fadillah Yusof, bagi membincangkan perkara tersebut.

“Lebih daripada sekali saya berjumpa dengan TPM 2 yang dikatakan diberi mandat oleh Perdana Menteri untuk bincangkan peruntukan ini.

“Apa yang diminta daripada TPM2 ini ialah supaya pihak pembangkang menulis surat kepada mereka memberikan jaminan tertentu dan sebagainya,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Beliau mendakwa syarat yang diminta kerajaan ‘tidak pernah dilakukan sebelum ini’.

Berikutan itu, Takiyuddin berkata, berdasarkan perbincangan antara pemimpin blok parti, mereka bersetuju bahawa syarat yang dikenakan kepada mereka tidak sepatutnya berlaku.

“Ketika pentadbiran kerajaan PN dulu, di bawah Datuk Seri Ismail Sabri, kerajaan yang tawarkan kepada pembangkang untuk datang tandatangani perjanjian yang disediakan kemudian peruntukan diberi, tidak ada masalah apa-apa,” katanya.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut mempersoalkan mengapa pembangkang perlu menghantar surat.

Malah, beliau mendakwa tindakan berkenaan seolah-olah memohon dan perlu pula memberi aku janji tertentu.

“Kita tidak akan menulis apa-apa untuk peruntukan Ahli Parlimen.

“Lagipun, itu adalah janji dalam buku manifesto mereka, peruntukan sama rata,” katanya.

Beliau pada masa sama mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutarbelitkan kenyataannya yang mengakui sudah memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

“Tapi PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ini ‘twist’. Beliau kata ada bagi peruntukan kepada projek-projek dalam kawasan pembangkang. Itu bukan isunya.

“Ini soal peruntukan kepada Ahli Parlimen yang diberikan sebelum ini oleh kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, tindakan kerajaan Madani dilihat jauh berbeza dengan pentadbiran di bawah PN di Kelantan dan Kedah apabila adil dalam mengagihkan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button