Wakil tetap Palestin ke PBB gesa gencatan senjata segera di Gaza
Serangan maut terhadap penduduk disengajakan, negara haram Isr4el didesak bertanggungjawab

NEW YORK, 19 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Wakil Tetap Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Riyad Mansour sekali lagi menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera melaksanakan gencatan senjata dan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza.
Menerusi tiga surat yang sama dihantar kepada Setiausaha Agung PBB, Presiden Majlis Keselamatan PBB (China), bulan ini dan Presiden Perhimpunan Agung PBB, Riyad menekankan keperluan untuk memaksa rejim pengganas mematuhi kewajipan undang-undang antarabangsa.
Ini termasuklah pemberhentian serta-merta tindakan balas dendam dan hukuman kolektif serta membenarkan bantuan kemanusiaan kepada semua orang awam yang memerlukan di Gaza.
Dalam konteks ini, beliau menarik perhatian kepada sasaran sistematik rejim pengganas ke atas kem pelarian di seluruh Semenanjung Gaza mengakibatkan kematian dan kecederaan ratusan orang awam Palestin dan kemusnahan yang meluas.
Malah, serangan ke atas kem pelarian Jabalia di utara Gaza baru-baru ini dan berulang kali sejak dua hari lalu, sekali gus menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 195 lelaki, wanita dan kanak-kanak serta kecederaan kepada ratusan lagi, kebanyakannya melecur teruk dan kecederaan serius.
“Dalam serangan ini, sekurang-kurangnya 120 rakyat Palestin masih hilang, tertimbus di bawah runtuhan besar dan kemusnahan yang disebabkan serangan bom ke atas kem itu.
“Semua kem pelarian di Gaza telah mengalami serangan rejim pengganas tanpa seorang pun yang terlepas,” katanya menerusi surat tersebut.
Riyad turut menekankan serangan maut yang disengajakan terhadap penduduk awam Palestin merupakan jenayah perang yang serius dan negara haram itu mesti bertanggungjawab.
Beliau mengulangi bahawa masyarakat antarabangsa tidak boleh berundur daripada menuntut dihentikan semua tindakan kejam di Gaza dan seluruh wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.
Katanya, ketiadaan perlindungan ini telah menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 9,000 orang awam Palestin setakat ini, yang majoritinya kanak-kanak dan wanita, dengan lebih 23,000 rakyat Palestin cedera.
Angka tersebut tidak termasuk lebih daripada 2,000 individu, dan lebih 1,000 kanak-kanak, yang masih hilang dan tertimbus di bawah runtuhan bangunan yang musnah. – Agensi