Dunia

Hamas gesa Mesir buka sepenuhnya pintu sempadan Rafah

AS-Barat yang sokong Israel bertanggungjawab ke atas pengeboman tiga hospital Gaza

GAZA, 20 Rabiulakhir 1445H, Sabtu – Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh mengecam tindakan ganas Israel menyasarkan serangan ke atas tiga hospital di Semenanjung Gaza.

Serangan rejim itu membabitkan Kompleks Perubatan Al-Shifa, Kompleks Perubatan Al-Quds dan Hospital Indonesia, menurut laporan agensi berita Anadolu.

Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan 13 rakyat Palestin syahid dan 26 yang lain cedera dalam pengeboman Israel yang menyasarkan ambulans di hadapan Kompleks Perubatan Al-Shifa.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Haniyeh mengecam tindakan tersusun Israel menyasarkan hospital, di mana serangan terbaharu adalah membabitkan pesakit cedera di pintu masuk Hospital Al-Shifa.

“Pembunuhan beramai-ramai ini adalah menggambarkan kesukaran yang sedang dilalui pasukan penjajah dan tentera daratnya, kerana mereka menerima serangan bertubi-tubi (daripada Hamas).

“Kekejaman ini selaras dengan lawatan baru Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken ke Israel, (kerana) hasil lampu hijau dan perlindungan terbuka yang AS berikan kepada penjajah – telah mencabar semua nilai kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Haniyeh juga menggesa Mesir untuk membuka sepenuhnya pintu masuk Rafah dan mengabaikan sebarang pertimbangan yang menyekatnya.

“Ini adalah tanggungjawab nasional terhadap saudara-saudara mereka dalam menyampaikan segala keperluan kemanusiaan,” katanya.

Beliau turut menggesa masyarakat Arab dan Islam untuk terus menyuarakan kemarahan, selain mendesak antarabangsa memikul tanggungjawab kemanusiaan, moral serta politik dengan menamatkan jenayah perang.

Dalam kenyataan lain, Hamas turut menggelar siri pengeboman ke atas tiga hospital sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Hamas juga percaya kerajaan AS dan Barat yang menyokong Israel bertanggungjawab sepenuhnya dalam serangan itu.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button