Israel tak peduli amaran PBB, tetap serang hospital Gaza
Serangan baharu sasar pintu masuk Hospital Kanak-Kanak Al-Nasr

GAZA, 20 Rabiulakhir 1445H, Sabtu – Meskipun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah memberi amaran, tentera penjajah Israel masih melancarkan serangan ganasnya ke atas sebuah lagi hospital di Gaza.
Dalam serangan pada Sabtu, rejim haram Israel menyasarkan pintu masuk Hospital Kanak-Kanak Al-Nasr di barat Gaza, menurut laporan TV Al-Aqsa.
Beberapa media tempatan melaporkan bahawa terdapat orang awam terkorban akibat serangan itu.
Setakat minggu ini, serangan tanpa henti Israel berterusan menyasarkan hospital di Semenanjung Gaza termasuk Hospital Al-Shifa, Hospital Al-Quds dan Hospital Indonesia.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan 13 rakyat Palestin syahid dan 26 yang lain cedera dalam pengeboman Israel yang menyasarkan ambulans di hadapan Kompleks Perubatan Al-Shifa.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan, sekurang-kurangnya 9,227 rakyat Palestin dibunuh sejak Israel memulakan serangan tanpa henti pada 7 Oktober lalu.- Agensi