Mesir enggan bawa pulang rakyat terkandas di Gaza
Rayu Kaherah mudahkan mereka kembali ke tanah air dengan selamat

GAZA, 20 Rabiulakhir 1445H, Sabtu – Warganegara Mesir yang terkandas di Gaza merayu supaya pihak berkuasa Kaherah memudahkan mereka kembali ke tanah air dengan selamat, di tengah-tengah pencerobohan tanpa henti Israel ke atas wilayah terkepung itu.
Aktivis media sosial mendakwa, pihak berkuasa Mesir enggan membenarkan rakyatnya dari Semenanjung Gaza untuk pulang melalui pelabuhan Rafah, walaupun Israel membenarkan mereka yang mempunyai dua kewarganegaraan keluar dari wilayah itu.
Rata-rata mereka mengecam kegagalan pihak berkuasa Mesir menangani keadaan warganegaranya di Gaza memandangkan pencerobohan berterusan rejim Israel.
Mereka turut tertanya-tanya sama ada permohonan keluar dari Gaza perlu dikemukakan kepada Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membantu rakyat Mesir di Gaza kembali ke tanah air, berbanding Kaherah.
Menurut media tempatan Mesir, jumlah rakyatnya di Gaza dianggarkan kira-kira 40,000 orang.
Antara mereka yang menuntut meninggalkan Gaza adalah Ghada Al-Saqqa, seorang warganegara Mesir-Palestin yang melawat saudaranya di Gaza ketika serangan 7 Oktober berlaku.
Ghada dan anak perempuannya terkandas di Gaza dan tinggal bersama abangnya, namun rumah mereka musnah dalam serangan Israel.
“Mereka menyerang kami. Kami bukan haiwan, kami penduduk Mesir, bukan penduduk Gaza.
“Dengan hak apa mereka benarkan orang asing keluar melalui persimpangan Mesir, tetapi bukan rakyat Mesir,” katanya.- Agensi