Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

PRK DUN Jepak: 22,731 pengundi pilih ADUN baharu hari ini

14 pusat mengundi babitkan 45 saluran dibuka pada 7.30 pagi

BINTULU, 20 Rabiulakhir 1445H, Sabtu – Sebanyak 22,731 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak hari ini.

Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 45 saluran akan dibuka pada 7.30 pagi dengan 11 daripadanya ditutup pada 5.30 petang manakala tiga lagi pada 4 petang.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 73 kertas undi pos kepada pemilih berdaftar yang layak termasuk 43 anggota dan pegawai polis bagi PRK berkenaan.

Tempoh kempen PRK Jepak berlangsung selama dua minggu sejak 21 Oktober lepas.

PRK berkenaan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca cerah pada sebelah pagi dan ribut petir dijangka berlaku di beberapa kawasan pada sebelah petang.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK ini mencapai 65 peratus.

Semasa meninjau persiapan SPR di Pusat Penjumlahan Undi PRK Jepak di Dewan Suarah di sini pada Khamis, beliau berkata keputusan dijangka diumum pada 9 malam.

PRK Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya untuk hampir enam penggal, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip daripada GPS pada 15 Sept lepas.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang diadakan pada Disember 2021, Allahyarham Talib yang menyandang kerusi DUN Jepak sejak 1996 berjaya mempertahankannya dengan memperoleh majoriti 4,243 undi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button