Ahli akademik gesa universiti Ireland putus hubungan dengan institusi Isra4l
Zionis lakukan kempen 'pembersihan etnik' dan 'keganasan genosid'

LONDON, 21 Rabiulakhir 1445H, Ahad – Lebih 600 ahli akademik di Ireland menggesa universiti negara itu memutuskan hubungan dengan institusi di negara haram Israel berikutan peperangan kejam yang berlaku dan berpanjangan terhadap penduduk Gaza.
Surat yang ditandatangani ahli akademik di seluruh Ireland itu mengutuk tindakan rejim pengganas di Gaza dan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai kempen pembersihan etnik dan keganasan genosid.
Sehingga kini terdapat banyak universiti di Ireland dan projek penyelidikan yang dibiayai Kesatuan Eropah (EU) aktif dalam kerjasama dengan universiti negara haram itu.
“Kami menyeru semua universiti di Ireland segera memutuskan hubungan dan kerjasama sedia ada atau gabungan dengan institusi di negara haram Israel tersebut.
“Hubungan itu harus digantung sehingga peperangan wilayah Palestin ditamatkan, hak Palestin untuk kesaksamaan dan penentuan nasib sendiri dibenarkan, dan hak pelarian Palestin untuk kembali dipermudahkan,” kata surat berkenaan.
Malah ahli akademik tersebut juga menjelaskan dalam apa jua keadaan, undang-undang antarabangsa tidak boleh membenarkan pengeboman dan hukuman kolektif terhadap orang awam di wilayah yang terkepung itu.
“Bahasa yang digunakan secara meluas oleh pemimpin Israel merujuk kepada rakyat Palestin sama seperti dengan hasutan dan niat pembunuhan beramai-ramai,” katanya.
Surat itu turut menjelaskan lebih daripada 3,700 kanak-kanak telah terbunuh dalam siri pengeboman Israel.
Jumlah itu melebihi daripada keseluruhan jumlah tahunan kanak-kanak yang terbunuh dalam gabungan konflik bersenjata seluruh dunia.
Sehingga kini ribuan lagi rakyat Palestin syuhada akibat kekurangan bahan api, air, elektrik dan bekalan perubatan akibat sekatan yang disengajakan.
Malah, hospital Gaza hampir tidak dapat berfungsi – tiada bekalan elektrik yang mencukupi untuk ventilator sehingga terpaksa menggunakan cuka sebagai antiseptik, situasi itu sangat tidak berperikemanusiaan. – Agensi