Amaran hujan lebat, ribut petir petang ini
MetMalaysia jangka cuaca buruk berterusan hingga jam 5 petang

BANGI, 21 Rabiulakhir 1445H, Ahad – Hujan lebat, ribut petir berserta angin kencang di seluruh negara sehingga jam 5 petang hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan berkata, cuaca buruk itu dijangka melanda beberapa negeri antaranya Kelantan, Terengganu, Perlis, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Selangor.
Selain itu turut terlibat ialah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Bagi Sabah, cuaca buruk dijangka melanda pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan dan Kudat.
Dalam pada itu, cuaca buruk di Sarawak pula membabitkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.
“Amaran ini dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya dalam hantaran sama.
Justeru, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.