Berita UtamaDunia

Indonesia hantar bantuan ubat ke Gaza

Dua pesawat tentera bawa 21 tan keperluan asas lain

JAKARTA, 21 Rabiulakhir 1445H, Ahad – Indonesia menghantar bantuan kemanusiaan pertama kepada rakyat Gaza membabitkan peralatan perubatan dan keperluan asas – yang mana pesawatnya sudah berlepas semalam.

Dua pesawat tentera yang membawa 21 tan bantuan terdiri daripada keperluan asas seperti kit perubatan, ubat, makanan, selimut, dan alat pembersihan air untuk hospital di Gaza.

“Tragedi kemanusiaan yang berlaku di Gaza tidak boleh diterima dan mesti dihentikan segera.

“Saya ingin mengulangi bahawa Indonesia akan sentiasa menyokong rakyat Palestin,” kata Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Terdahulu beliau diiringi Menteri Luar Retno Marsudi dan Menteri Pertahanan Prabowo Subianto mengawasi penghantaran bantuan di Lapangan Terbang Tentera Halim Perdanakusuma.

Tambah Jokowi, pesawat kargo seterusnya dengan 30 tan bantuan dijadualkan dihantar dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang.

Katanya, bantuan itu berdasarkan keperluan di Gaza, contohnya, pembersih air minuman, yang sukar diperoleh di sana.

Serangan kejam tanpa henti oleh rejim pengganas sehingga kini telah mengorbankan lebih 9,200 yang kebanyakan terdiri daripada wanita dan kanak-kanak manakala ribuan lain yang cedera. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button