Berita Utama

Harga 8 barang dikawal sempena Deepavali

Skim kuat kuasa Khamis hingga 15 November

BANGI, 22 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Sebanyak lapan jenis barangan ditetapkan menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali, yang akan bermula Khamis ini sehingga 15 November depan.

Ia meliputi bawang merah besar import, bawah merah kecil (India) tidak termasuk Ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal (Australia), kelapa biji, kelapa parut dan tomato.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan skim itu dijalankan selama tujuh hari, iaitu tiga hari sebelum dan tiga hari selepas perayaan Deepavali.

“Tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa bagi menjamin kestabilan harga kepada kedua-dua pihak sama ada di peringkat pengguna mahupun peniaga.

“Senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti faktor permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan faktor-faktor luaran seperti ekonomi global,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penentuan harga dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan dan pemain industri.

“SHMMP Deepavali 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

“Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Deepavali di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di www.kpdn.gov.my,” katanya.

Armizan turut memaklumkan bahawa pengawai penguatkuasa KPDN di seluruh negara akan meneruskan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik.

Ia termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniagaa yang tidak beretika.

“Kementerian sentiasa menjalinkan kerjasama dengan KPKM untuk memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button