Permaisuri Jordan label penentang gencatan senjata di Gaza sebagai penyokong kematian
Punca konflik sebenar adalah pendudukan haram Israel

AMMAN, 22 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Permaisuri Rania dari Jordan menggesa gencatan senjata di Gaza sambil menegaskan pihak yang menentang pelaksanaan itu seolah menyokong kematian beribu-ribu orang awam.
Dalam wawancara bersama Becky Anderson dari CNN, Permaisuri Rania mengulas isu penolakan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken terhadap gencatan senjata ketika berada di Amman.
Selepas bertemu dengan pemimpin Arab pada hari Sabtu, Blinken berkata, gencatan senjata di Gaza hanya akan membolehkan lebih banyak serangan Hamas.
Permaisuri Rania berkata: “Perlu ada seruan kolektif untuk gencatan senjata dan saya tahu sesetengah pihak yang menentang gencatan senjata berhujah bahawa ia akan membantu Hamas.
“Walaubagaimanapun, dalam hujah itu mereka menolak (fakta berlakunya) kematian, dan hakikatnya menyokong dan mewajarkan kematian beribu-ribu orang awam. Itu adalah tercela dari segi moral, dan tidak rasional sama sekali.”
“Jika (Israel) berjaya menghapuskan Hamas, (pada akhirnya) punca konflik ini adalah pendudukan haram (Israel), pelanggaran hak asasi manusia, penempatan haram, mengabaikan resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa.
“Jika kita tidak menangani punca utama, anda (mungkin) boleh membunuh pejuang tetapi anda tidak boleh membunuh puncanya,” kata Permaisuri Rania.
Pada masa sama, Permaisuri Rania mengecam keadaan kemanusiaan yang dahsyat di Gaza, dan bertanya: “Berapa ramai lagi orang yang perlu mati sebelum hati nurani global kita tersedar?
“Atau adakah ia selama-lamanya tidak aktif apabila melibatkan rakyat Palestin?”
Beliau menyatakan bahawa hampir 10,000 kematian di Gaza sejak perang bermula, hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak.
“Ini bukan sekadar nombor. Setiap seorang daripada kanak-kanak ini adalah segala-galanya bagi seseorang,” katanya.
“Terdapat akronim di Gaza, W.C.N.S.F.: ‘Wounded Child with No Surviving Family’. Akronim ini tidak sepatutnya wujud, tetapi ia wujud di Gaza.”
Israel telah berulang kali menggesa orang awam Palestin untuk bergerak ke selatan Semenanjung Gaza, ketika ia meningkatkan serangan udara dan darat di seluruh wilayah itu.
Duta Israel ke AS, Michael Herzog memberitahu CBS’s Face the Nation pada Ahad bahawa Israel ‘membuat segala usaha’ untuk mengeluarkan penduduk awam di Gaza ‘daripada bahaya.’
Sebaliknya dia mendakwa, “Hamas sedang melakukan segala yang mereka mampu untuk memastikan penduduk awam berada dalam bahaya.”
Menyelar kenyataan itu, Rania berkata, dakwaan bahawa Israel cuba melindungi orang awam adalah ‘satu penghinaan kepada kebijaksanaan akal manusia.’
“Apabila 1.1 juta orang diminta meninggalkan rumah mereka atau berisiko mati, itu bukan perlindungan orang awam, itu pemindahan paksa,” katanya.
Rania mengakui langsung tidak percaya arahan pemindahan Israel adalah untuk kepentingan Gaza, sebaliknya yakin ia cubaan untuk ‘menghalalkan tindakan Zionis.’ – Agensi