Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Polis sahkan kes buli tular di MCKK, siasatan sedang dilakukan

PIBG MCKK selar cubaan campur tangan ibu bapa dalam pengurusan sekolah

KUALA KANGSAR, 22 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kes buli membabitkan pelajar tingkatan empat dan lima di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, polis menemui mesej tular berhubung kejadian itu pada Sabtu selepas ia disiarkan di laman sosial Instagram.

“Buli itu berlaku pada 24 September kira-kira jam 10.05 malam. Dalam kejadian itu, mangsa – pelajar tingkatan empat – dibelasah oleh pelajar tingkatan lima.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kangsar oleh pihak sekolah untuk rawatan lanjut. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati fizikal normal dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya seperti dilapor NST.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan secara sukarela yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Susulan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau komen serta spekulasi tidak berasas berkaitan kes tular ini.

Difahamkan, tiga pelajar tingkatan empat terlibat dalam kejadian buli ini di mana mereka dipukul lima pelajar tingkatan lima.

Sementara itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) melahirkan rasa kesal dengan kejadian membabitkan pelajar sekolah itu.

Persatuan itu menerusi catatan Facebooknya berkata, tindakan keluarga pelajar yang dibuli itu menyebarkan kes ini di media sosial memberi impak besar dan merosakkan imej baik sekolah sebagai institusi ternama.

Kenyataan itu berkata, PIBG sedia maklum bahawa kes tatatertib membabitkan kejadian buli itu telah pun disiasat dan tindakan telah diambil oleh pihak sekolah 

Sebab itu PIBG mengambil pendirian berhubung perkara tersebut; bahawa keputusan yang diambil oleh pihak sekolah dianggap telus tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“Kami mengambil maklum ancaman penularan kes ini melalui surat yang diutuskan oleh sekumpulan ibu bapa murid tingkatan empat jika keputusan dan tindakan semasa pihak sekolah terhadap pelajar terbabit tidak diubah.

“PIBG MCKK menyelar tindakan cubaan campur tangan ibu bapa terbabit di dalam pengurusan sekolah ini. 

“Dalam hal yang berkaitan, PIBG menghormati pendirian pihak sekolah dan Pengetua yang tidak tunduk kepada ancaman diberikan oleh sekumpulan ibu bapa murid tingkatan empat,” menurut kenyataan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button