Tentera Udara Diraja Jordan berjaya tembusi ruang udara Gaza, hantar bantuan perubatan
Bekalan perubatan, farmaseutikal kritikal dihantar ke hospital medan Jordan

AMMAN, 22 Rabiulakhir 1445H, Isnin – Buat pertama kali dalam lebih 20 tahun, pesawat Arab berjaya melakukan operasi pendaratan bekalan perubatan melalui langit Gaza.
Koresponden di lapangan, akaun dan saluran Gaza Now mengesahkan bahawa Jordan berjaya buat kali pertama menembusi ruang udara Gaza dan dapat menurunkan kotak yang membawa bantuan perubatan ke hospital medan Jordan di Gaza, yang diumumkan oleh Raja Jordan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Jordan, Raja Abdullah dalam hantaran di laman sosial X (dahulu dikenali sebagai Twitter), mengumumkan pada awal pagi Isnin, bahawa Tentera Udara Diraja Jordan berjaya melakukan penghantaran udara bagi bekalan perubatan dan farmaseutikal kritikal ke hospital medan Jordan di Semenanjung Gaza.
Baginda menambah di platform (X), “Anggota tentera udara kami yang tidak gentar telah menurunkan bantuan perubatan segera tengah malam tadi ke hospital lapangan Jordan di Gaza.
“Ini adalah tugas kami untuk membantu saudara-saudara kami yang cedera dalam perang di Gaza.
“Kami akan sentiasa ada untuk saudara Palestin kami,” titah Raja Jordan. – Agensi