Berita Utama

3 MP Bersatu lompat tak hilang kerusi kerana sokong Anwar

Nyata sokongan pada kerajaan tak tertakluk akta lompat parti

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 24 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Tiga Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan kehilangan kerusi, meskipun mereka mengisytihar sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, tindakan tiga individu itu tidak tertakluk di bawah undang-undang lompat parti yang dikuatkuasakan pada 5 Oktober 2022.

Menurutnya, undang-undang lompat parti menyatakan bahawa seorang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan hilang kerusi, sekiranya keluar parti.

“Dengan menyatakan sokongan kepada parti lain, ia tidak termasuk dalam perbuatan yang boleh menyebabkan beliau hilang kerusi.

“Dari kaca mata undang-undang anti lompat parti, perbuatan mereka tidak tergolong dalam perbuatan yang boleh menyebabkan mereka hilang kerusi.

“Sama ada kerajaan kini ada sokongan dua pertiga, bergantung kepada sama ada mereka memberi sokongan kepada kerajaan ketika undi di Parlimen,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas status Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim yang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan parti itu menggantung keahlian Iskandar selama empat tahun, manakala Suhaili digantung enam tahun kerana menyokong Anwar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button