Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

‘Katak-katak politik tetap lompat, guna nama lain’

Rakyat sudah penat dan muak dengan drama politik

BANGI, 24 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh memohon supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menilai semula ‘katak-katak’ politik yang melompat supaya agenda reformasi Parlimen dapat dilaksanakan sebaiknya.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau menggesa drama-drama politik seperti itu dihentikan kerana mengundang rasa muak dalam kalangan rakyat.

“Saya mohon agar Perdana Menteri menilai semula mereka-mereka yang melompat ini agar agenda reformasi Parlimen dapat dilaksanakan dengan baik dan mencapai tujuan sebenar reformasi tersebut.

“Cukup-cukuplah dengan drama politik sebelum ini, rakyat sudah penat dan muak dengan drama politik tersebut.

“Kini adalah masa untuk fokus membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim daripada Perikatan Nasional (PN) yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar berkuat kuasa serta-merta semalam.

Mohd Azizi merupakan ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketiga yang mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama.

Dalam pada itu, Akmal mendakwa, ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mengalih sokongan kepada Perdana Menteri disifatkan sebagai lompat parti namun menggunakan istilah berbeza.

Menurutnya, Akta Anti Lompat Parti bertujuan menghalang katak-katak politik untuk melompat sesuka hati sekali gus mengelakkan drama politik yang berpanjangan.

Ia juga membolehkan wakil rakyat yang dipilih terus fokus untuk berkhidmat bagi rakyat yang memilih mereka dan parti yang diwakili.

“Tetapi rupa-rupanya walaupun akta anti lompat parti telah diluluskan, katak-katak ini tetap melompat menggunakan nama lain iaitu menyokong kerajaan tanpa keluar parti.

“Jadi nama yang digunakan walaupun berbeza tetap sama tujuannya untuk katak-katak ini melompat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button