MP Bersatu-Jeli pula isytihar sokong Anwar
Zahari Kechik sedia berdepan risiko tindakan disiplin parti

BANGI, 24 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa hari ini.
Keputusan itu dibuat selepas Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dari Perikatan Nasional (PN) mengambil langkah sedemikian semalam.
Zahari berkata, keputusan itu dibuat tanpa paksaan, pengaruh dan tekanan dari mana-mana pihak.
“Selepas meneliti, memperhalusi dan mempertimbangkan dengan sehabis baik mengenai permasalahan yang dihadapi rakyat terkini mengenai kos sara hidup.
“… himpitan mengenai keperluan asas yang perlu dipertingkatkan dan pembangunan yang mesti diteruskan dalam kawasan Parlimen Jeli, maka saya sebagai Ahli Parlimen Jeli dengan ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya sedar rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi. Dalam alaf yang serba mencabar ini selaku ahli Parlimen, saya harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat dalam Parlimen Jeli,” katanya dalam satu kenyataan,
Zahari bagaimanapun berkata, beliau tetap akan taat, setia dan kekal sebagai ahli Bersatu.
“Saya bersedia berdepan dan menerima risiko tindakan disiplin parti demi memastikan pengundi dan rakyat dalam Parlimen Jeli tidak menjadi mangsa keadaan dan tidak ketinggalan menerima semua bentuk pembangunan dan bantuan daripada Kerajaan Pusat.
“Maka dengan ini saya juga mengisytiharkan untuk menyokong sebarang dasar-dasar dan inisiatif yang kerajaan lakukan dalam memulihkan ekonomi negara serta meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat. Sokongan saya ini berterusan hingga Pilihan Raya Umum (PRU) yang seterusnya,” katanya.