Berita UtamaDunia

Turkiye boikot produk Coca-Cola, Nestle

Sokong sensitiviti orang ramai boikot syarikat sokong Israel

ANKARA, 24 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Parlimen Turkiye mengeluarkan produk Coca-Cola (KO.N) dan Nestle (NESN.S) daripada restorannya pada Selasa berhubung dakwaan sokongan mereka terhadap Israel di tengah-tengah konflik perang di Gaza.

“Produk syarikat yang menyokong Israel tidak akan dijual di restoran, kafeteria dan premis perniagaan lain di sekitar Parlimen,” kata Perhimpunan Kebangsaan Besar Turkiye.

Speaker Numan Kurtulmus membuat keputusan itu berkata, tindakan itu bagi menyokong sensitiviti orang ramai mengenai boikot produk syarikat yang secara terbuka mengisytiharkan sokongan mereka terhadap jenayah perang Israel dan pembunuhan orang yang tidak bedosa di Gaza.

Sumber Parlimen berkata, minuman Coca-Cola dan kopi segera Nestle adalah satu-satunya jenama yang dikeluarkan daripada menu.

Keputusan itu bertujuan bagi membalas bantahan besar orang ramai terhadap syarikat-syarikat ini kerana menyokong Israel.

Kenyataan Parlimen mahupun sumber tidak menyatakan bagaimana Coca-Cola dan Nestle menyokong usaha perang Israel.

Pada bulan lalu, Nestle berkata, ia menutup sementara salah satu kilang pengeluarannya di Israel sebagai langkah berjaga-jaga.

Kebelakangan ini, aktivis Turkiye menamakan kedua-dua syarikat itu dalam siaran media sosial yang menggesa pemboikotan barangan Israel dan syarikat barat yang mereka anggap menyokong negara pengganas itu.

Difahamkan, Parlimen Turkiye adalah antara kerajaan atau pertubuhan pertama yang menyasarkan jenama besar global yang secara terang-terangan menyokong Israel.

Sejak sebulan lalu, Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan telah mengkritik secara keras serangan Israel ke atas Gaza dan sokongan barat terhadap Baitulmaqdis.

Israel telah mengebom Gaza sejak serangan Hamas di selatan Israel sebulan lalu.

Pegawai kesihatan Gaza berkata, serangan Israel telah membunuh lebih 10,000 rakyat Palestin, termasuk kira-kira 4,100 kanak-kanak.

Ratusan ribu rakyat Turkiye telah turun ke jalan untuk membantah operasi Israel ke Gaza sejak sebulan lalu.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button