Besar kemungkinan ada lagi MP Bersatu sokong Anwar
Keputusan empat wakil rakyat seolah tak yakin dengan parti

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 25 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Tindakan empat ahli Parlimen Bersatu beralih sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menampakkan parti itu berada dalam keadaan genting pada masa ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa pada Rabu.
Pengumuman itu dibuat tidak sampai 24 jam Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dari Perikatan Nasional (PN) mengambil langkah sedemikian.
Zahari menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas meneliti, memperhalusi dan mempertimbangkan dengan sehabis baik mengenai permasalahan yang dihadapi rakyat terkini.
Ini termasuk mengenai kos sara hidup, himpitan mengenai keperluan asas yang perlu dipertingkatkan dan pembangunan yang mesti diteruskan dalam kawasan Parlimen Jeli.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman masing-masing mengumumkan sokongan mereka pada 12 dan 30 Oktober lepas.
Mengulas perkara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Dr Azmi Hassan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan rakyat menerima ‘dalil’ ahli Parlimen masing-masing untuk kepentingan mereka.
Bagaimanapun katanya, keadaan itu seolah-olah menunjukkan kesemua ahli Parlimen tersebut tiada keyakinan terhadap Bersatu lebih-lebih lagi dalam membantu rakyat apabila berada di kerusi pembangkang.
“Jadi untuk mereka keluar daripada Bersatu tidak boleh kerana mereka akan hilang kerusi. Oleh itu, mereka menyatakan sokongan pada kerajaan Perdana Menteri.
“Dan ini boleh dibaca sebagai mereka itu telah keluar daripada Bersatu walaupun belum digugurkan keahliannya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Ekoran situasi terkini, Azmi mejangkakan wakil rakyat Bersatu yang lain bakal mengikuti langkah seperti keempat-empat ahli Parlimen berkenaan.
“Besar kemungkinan ada lagi wakil rakyat Bersatu yang akan menzahirkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Berita berkaitan:
https://ismaweb.net/2023/11/08/mp-bersatu-jeli-pula-isytihar-sokong-anwar/