Demi Palestin, Turkiye henti projek tenaga dengan Israel
Ikrar hantar generator, tunggu sempadan Rafah dibuka

ANKARA, 25 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Demi penduduk Palestin yang kini menderita akibat peperangan di Gaza, Turkiye memutuskan tidak akan membincangkan sebarang projek tenaga dengan negara haram Israel.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turkiye, Aplarslan Bayaktar memberitahu penyiar swasta negara itu, dalam suasana peperangan yang hebat adalah tidak sesuai untuk berbincang mengenai projek dan kerjasama.
“Dalam suasana dan persekitaran kekejaman hebat, sangat tidak menghormati kepada penduduk di Palestin untuk berbincang mengenai sebarang projek.
“Satu-satunya perkara yang kita akan bincangkan pada masa ini ialah bagaimana kita boleh memenuhi keperluan elektrik, air dan makanan kepada penduduk di Gaza berdepan situasi terdesak.
“Itu satu-satunya projek yang boleh kita fikir untuk memulihkan tenaga elektrik di Gaza kembali beroperasi,” katanya.
Beliau memberi jaminan untuk menghantar generator dan menunggu pintu sempadan Rafah dibuka semula.
“Kami sedang mempertimbangkan bagaimana boleh menyumbang loji kuasa terapung dan loji kuasa mudah alih kepada rakyat di Gaza, yang kami panggil kapal kuasa,” katanya.
Semalam, Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mengumumkan jumlah kematian akibat serangan udara Israel di Semenanjung sejak 7 Oktober telah meningkat kepada lebih 10,000 dengan lebih 25,000 cedera termasuk 4,100 adalah kanak-kanak. – Agensi