Hamas berjaya musnahkan 136 perisai milik Zionis
Tawan 242 warga Israel sebagai pertukaran dengan lebih 6,000 tahanan Palestin

GAZA, 25 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Gerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mendedahkan berjaya memusnahkan 136 buah perisai rejim pengganas Israel sejak operasi darat dimulakan di wilayah terkepung Gaza.
Jurucakap Hamas, Abu Ubaidah dalam ucapan menerusi Al-Aqsa TV memaklumkan, pihaknya telah memusnahkan kenderaan milik Zionis itu sama ada secara sepenuhnya atau sebahagiannya sejak perang 7 Oktober lalu.
“Zionis telah menghalang pembebasan tahanan asing kami dengan mempergiatkan serangan udara dan melakukan pembunuhan beramai-ramai,” katanya.
Mengenai kemungkinan berlaku pertukaran tahanan, Abu Ubaidah menjelaskan, pendekatan perjanjian untuk menukar tahanan sama ada secara keseluruhan atau berkumpulan akan dilakukan secara berperingkat.
“Palestin mempunyai tahanan wanita, warga emas dan mereka yang kurang sihat di penjara pendudukan, sama seperti mereka mempunyai tahanan daripada kategori yang sama,” katanya.
Ketika Operasi Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober lalu, Hamas berjaya menawan kira-kira 242 warganegara Israel untuk pertukaran sebagai balasan kepada kira-kira 6,000 tahanan Palestin yang ditahan di penjara negara haram, Israel.
Dalam protes berkenaan, keluarga telah menuntut pemulangan semula tahanan selain menyuarakan kemarahan kepada kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. -Agensi