Palestin gesa IAEA tangani ancaman nuklear Israel di Gaza
Seolah pengakuan rasmi Israel miliki senjata pemusnah besar-besaran

RAMALLAH, 25 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki menggesa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) supaya mengambil langkah menangani ancaman Israel untuk menggunakan senjata nuklear di Gaza.
Riyad menghantar mesej kepada Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi berhubung kenyataan yang dibuat oleh Menteri Warisan Israel, Amichai Eliyahu baru-baru ini.
Ia mengenai amaran untuk menjatuhkan bom nuklear di Semenanjung Gaza sebagai antara kemungkinan oleh negara haram Israel dalam menangani ancaman daripada pejuang Hamas.
Katanya, kenyataan menteri Israel itu adalah ancaman kepada semua negara dan IAEA serta negara anggotanya harus memberi perhatian segera terhadap isu itu.
Beliau menggesa kecaman antarabangsa terhadap kenyataan Amichai dan pelaksanaan semua langkah yang perlu bagi menghentikan ancaman jelas ini terhadap kehidupan rakyat Palestin dan negara jiran.
Menyifatkan kenyataan itu sebagai antara kebocoran idea daripada mesyuarat Kabinet Israel untuk memusnahkan Gaza dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin, Riyad berkata, ia sepenuhnya selaras dengan wacana yang meluas di Israel.
“Ini dianggap sebagai pengakuan rasmi Israel memiliki senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran.
“Kuasa pendudukan telah membangunkan senjata nuklear melalui cara yang menyalahi undang-undang dan telah menolak untuk menyertai Perjanjian mengenai Tanpa Penyebaran Senjata Nuklear,” katanya.
Ia sekali gus mencadangkan ancaman menggunakan senjata nuklear di Gaza bertujuan untuk meningkatkan konflik dan memperdalam pendudukan.
Berikutan kenyataan Amichai, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menggantungnya daripada mesyuarat Kabinet selama-lamanya.
Bekas Perdana Menteri, Yair Lapid turut menggesa Netanyahu untuk memecat Eliyahu.
Susulan reaksi terhadap kenyataannya, Amichai berkata, kenyataannya mengenai bom nuklear sebagai metafora.- Agensi