Berita Utama

PN akan perjuang isu undang-undang syariah di Parlimen

Cubaan ganggu-gugat mana-mana pihak akan ditentang 

BANGI, 25 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan mempertahan dan memperkasakan apa jua yang menjadi asas kepada pembentukan negara.

Bahkan, PN juga menentang cubaan mana-mana pihak yang mengganggu-gugat fundamental negara, kata Ketua Pembangkang  Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Saya dan ahli-ahli Bersatu mengikuti sesi taklimat khas mengenai cabaran dan kemashalatan undang-undang syariah di negara ini yang cuba diganggu gugat oleh pihak tertentu.

“Taklimat tersebut disampaikan peguam Lukman Sheriff Alias dan turut serta dalam taklimat khas adalah Gerakan Selamatkan Syariah,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Larut itu juga berkata, satu memorandum bagi menyelamatkan undang-undang syariah turut diserahkan kepada kami untuk diangkat dan diperjuangkan di Parlimen.

Terdahulu, cetus kontroversi dalam perundangan negara apabila Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mencabar 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Dalam prosiding kes Nik Elin ini, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakilinya berhujah, 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bertindan dengan undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Bagaimanapun, ramai pihak menentang tindakan Nik Elin kerana implikasi pembatalan kesalahan jenayah syariah ini begitu besar dan dahsyat sehingga boleh meruntuhkan keseluruhan undang-undang jenayah syariah negeri-negeri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button