Berita Utama

Ada gerakan terancang sogok MP Bersatu? Puad minta Muhyiddin cermin diri

Semua bekas MP UMNO masuk Bersatu dapat jawatan

BANGI, 26 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘mencermin diri sendiri’ sebelum mendakwa empat Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytihar sokongan kepada Perdana Menteri diugut dan disogok untuk berbuat demikian.

Beliau menggesa Presiden Bersatu itu mengingat kembali siapa yang sebenarnya menggunakan kaedah ugutan dan sogokan untuk mendapatkan sokongan.

“Muhyiddin patut cermin diri sendiri. Siapa yang guna kaedah ugut dan sogok. Semua Ahli Parlimen UMNO yang keluar parti pada 2018 dan masuk Bersatu pada 2019 jadi menteri.

“Semua dapat jawatan. Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Datuk Shabudin Yahaya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Puad mendakwa, pemimpin UMNO lain seperti Datuk Seri Najib Razak, Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shahrir Samad dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pula diugut dengan puluhan tuduhan.

“Mereka tidak lari. Tanya Tok Pa dan Hamzah, kenapa lari? Takut didakwa.

“Peruntukan punya hal pun boleh lari. Ini semua kerana mereka tidak ada jati diri,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mendakwa terdapat gerakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan parti tersebut dan Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan sogokan dan ugutan terhadap Ahli-Ahli Parlimen.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pihaknya tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat berkenaan dan tindakan yang lebih tegas bakal diambil.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim Ahli dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengisytiharkan menyokong kepimpinan Anwar namun tetap akan taat, setia serta kekal sebagai ahli Bersatu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memulakan tindakan tersebut pada 12 Oktober disusuli Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, dua minggu kemudian.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button