Akta Lompat Parti wajar diperkemas lagi
Banyak kelompongan, wakil rakyat jumpa peluang beralih arah walau sudah diberi mandat

BANGI, 26 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Akta Lompat Parti yang diwartakan September lalu wajar diperkemaskan lagi bagi memastikan wakil rakyat tidak mencari helah untuk ‘menghalalkan’ sesuatu dengan tujuan yang tidak baik.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, pindaan undang-undang itu dilihat masih gagal dan mempunyai kelompongan.
Ini kerana, masih wujud wakil rakyat yang cuba mencari peluang untuk beralih arah walaupun telah diberikan mandat oleh rakyat.
“Perkara ini perlu diperkemaskan lagi supaya semua wakil rakyat tidak boleh mencari helah untuk ‘menghalalkan kerja yang tak elok’.
“Bagi saya, pindaan akta itu juga perlu dilengkapkan (dengan klausa) yang boleh menghalang Ahli Parlimen yang hendak beri sokongan kepada parti lawan, itu barulah betul kerana jika dilihat dalam situasi sekarang ini masih ada ruang bagi Ahli Parlimen beralih sokongan tanpa lompat parti,” katanya.
Ini adalah rentetan situasi di mana empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) iaitu Kuala Kangsar, Labuan, Gua Musang dan Jeli yang beralih arah menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun mengambil keputusan untuk terus kekal bersama PN.
Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis berpandangan, tindakan empat wakil rakyat Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri hanyalah bertujuan bagi mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.
“Namun begitu, sokongan sebenar mereka masih kepada PN dan saya ingat apa yang berlaku ini akan menjadikannya sebagai peluang dan bukannya halangan.
“Kalau wakil rakyat PN boleh nyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dengan tidak pindah parti, tak mustahil wakil rakyat PH-BN pun boleh buat perkara yang sama,” katanya.
Beliau pada masa sama bersyukur berikutan tiada peralihan sokongan itu daripada wakil rakyat PAS.
“PAS ada tarbiyahnya, PAS dididik untuk setia pada satu tujuan dan beristiqamah dan insya-Allah saya fikir apa yang berlaku dalam PN ini akan buka satu peluang dan bukan halangan kepada kita untuk terus berjuang,” katanya.
Pada Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti sudah diwartakan pada 6 September 2022 dan berkuat kuasa pada 5 Oktober 2022.
Peruntukan Seksyen 6 Akta A1663 memberikan ruang kepada Kerajaan Negeri/Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk melaksanakan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti melalui pindaan Perlembagaan Negeri, tertakluk persetujuan Raja atau Yang Dipertua Negeri.
Bagaimanapun, hanya tujuh negeri sahaja yang menguatkuasakan undang-undang berkaitan anti lompat parti itu.
“Sehingga kini, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak sudah menguatkuasakan Enakmen Negeri masing-masing, berkaitan larangan bertukar parti di peringkat DUN,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, pada 23 Februari lalu.