Berita Utama

Deepavali: 976,000 kenderaan dijangka guna KLK, LPT1

Pengguna digalak rujuk TTA supaya perjalanan lebih lancar

BANGI, 26 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Sebanyak 976,000 kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sempena cuti perayaan Deepavali minggu ini.

Anih Berhad menjangkakan 692,000 kenderaan akan menggunakan KLK bagi tempoh 10 hingga 13 November, iaitu peningkatan 73 peratus daripada jumlah trafik harian biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif Anih Berhad, Imran Gulcharan Abdullah berkata, jumlah aliran trafik di LPT1 pula dijangka sebanyak 284,000, bersamaan peningkatan sebanyak 58 peratus daripada jumlah aliran trafik harian biasa.

Serentak itu, Anih Berhad mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) meliputi tempoh berkenaan bagi membantu pengguna jalan raya merancang perjalanan ketika perayaan Deepavali.

“Cuti perayaan yang bersambung dengan cuti hujung minggu ini pastinya dimanfaatkan untuk bercuti bersama keluarga dan rakan taulan dalam tempoh lebih lama.

“Oleh itu, saya menggalakkan semua yang akan menggunakan lebuh raya menghala ke Pantai Timur menjadikan TTA ini sebagai panduan agar perjalanan lebih lancar dan selesa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Imran berkata, keutamaan dan tanggungjawab Anih Berhad adalah untuk memastikan keselesaan, kemudahan serta keselamatan pengguna lebuh raya terutama ketika musim perayaan.

“Oleh yang demikian, Anih Berhad telah membuat persediaan dengan menambah bilangan kakitangan sokongan lebih daripada 60 peratus, yang terdiri daripada petugas di plaza tol, pasukan LPT Ronda dan pasukan pusat kawalan trafik (TCC) sepanjang tempoh tersebut termasuk bersedia membuka laluan tambahan tol sekiranya perlu.

“Selain itu, seramai 150 anggota Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan di kawasan-kawasan strategik di seluruh lebuh raya bagi memastikan kelancaran trafik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengguna Lebuhraya KLK dan LPT1 mematuhi prosedur-prosedur ditetapkan, selaras pengumuman kerajaan mengenai pemberian tol percuma sempena perayaan Deepavali, yang berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini.

Katanya, pengguna Touch ‘n Go diingatkan untuk tetap menyentuh kad pada alat pengesan di lorong tol plaza dan memastikan baki semua mod pilihan pembayaran mencukupi.

“Anih Berhad ingin mengingatkan para pengguna lebuh raya supaya memberi keutamaan kepada keselamatan diri sendiri serta pengguna lain dengan mengamalkan pemanduan berhemah.

“Gunakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau hentian sebelah bila perlu. Patuhi tanda-tanda jalan, had laju dan arahan daripada pegawai lebuh raya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan semua terjamin,” katanya.

Imran turut menasihati pengguna mengikuti akaun Facebook rasmi @Lebuhraya Pantai Timur dan akaun X @LPTTrafik serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), @llmtrafik bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button