Berita Utama

MAIN digesa pertimbang pengecualian bayaran fi Peguam Syarie

Selari dengan peruntukan Akta Profesion Guaman Syarie (WWP) 2019: PGSM

BANGI, 26 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) digesa mempertimbangkan langkah sama dengan mengecualikan fi pembaharuan Sijil Amalan Tahunan Peguam Syarie di Wilayah Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, pengecualian fi tersebut sangat dihargai oleh seluruh peguam syarie yang turut terkesan dengan situasi ekonomi negara dan dunia.

“Pengecualian itu juga selari dengan peruntukan dalam Akta Profesion Guaman Syarie (WWP) 2019 (Akta 814) yang memberikan kuasa kepada menteri untuk menetapkan fi di bawah seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta berkenaan.

“Walaupun ia adalah kerjaya profesional, namun majoriti Peguam Syarie adalah pemilik atau rakan kongsi firma yang juga merupakan perniagaan yang terkesan ekonomi semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengumumkan tidak berhasrat untuk menetapkan fi di bawah Seksyen 23, 24, 29 dan 31 Akta Profesion Guaman Syarie (Akta 814) (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 bagi tahun hadapan.

Katanya, keputusan itu dibuat susulan kajian lanjut sedang dilaksanakan, fi masih belum ditetapkan dan mengambil kira kebajikan Peguam Syarie.

Atas dasar itu, PGSM yang mewakili semua Peguam Syarie khususnya di Wilayah Persekutuan serta seluruh negara yang mempunyai Sijil Amalan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan berterima kasih atas keprihatinan berkenaan berhubung pentadbiran agama Islam di Wilayah Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button